Kembali dibuka selepas dua bulan, warga London serbu restoran makanan segera

Agensi
Mei 13, 2020 07:51 MYT
Petugas servis penghantaran memenuhi kawasan sekitar bangunan McDonald's di Watford Luton dan Harrow. - Reuters
Petugas perkhidmatan penghantaran makanan berbaris panjang di luar restoran McDonald's di London selepas 15 cawangannya di bandar raya itu dibuka semula untuk kali pertama sejak Mac.
Kesemua cawangan mula dibuka jam 11 pagi untuk servis bawa pulang sahaja.
Aplikasi UberEats dilaporkan mengalami masalah kerana permintaan tinggi, dengan ramai pelanggan mengeluh gagal mengakses aplikasi berkenaan.
McDonald's menerusi Twitter memaklumkan masalah itu disebabkan jumlah pesanan yang sangat tinggi, sekaligus menimbulkan masalah penghantaran.
Gambar-gambar yang tersebar di laman sosial menunjukkan petugas servis penghantaran memenuhi kawasan sekitar bangunan McDonald's di Watford Luton dan Harrow.
Walaupun penanda penjarakan sosial dua meter disediakan, ia sukar dipatuhi memandangkan keadaan yang sesak.
Rangkaian restoran makanan segera gergasi itu juga memohon pelanggan memahami situasi semasa di mana mereka tidak dapat melakukan penghantaran dalam tempoh masa yang pantas seperti sebelum ini.
Ketua Eksekutif McDonald UK dan Ireland, Paul Pomroy berkata semua pihak kini dalam proses menyesuaikan diri dengan keadaan dan norma baharu yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada cara kerja mereka.
"Sambutan luar biasa apabila kami mengumumkan untuk membuka semula restoran dan kami tahu ramai yang mahu restoran dibuka seperti biasa.
"Tetapi ketika ini keselamatan dan kesihatan pekerja, pembekal dan rakan penghantaran adalah keutamaan dan kami hanya akan membuka cawangan di mana situasi persekitarannya diyakini selamat untuk semua," katanya.
#Harrow #laman sosial #London #Mcdonald's #Paul Pomroy #perkhidmatan penghantaran makanan #UberEats #Watford Luton
;