Kematian lebih 300 kanak-kanak, WHO siasat pengeluar ubat batuk
Astro Awani
Januari 24, 2023 18:06 MYT
Januari 24, 2023 18:06 MYT
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menyiasat sama ada terdapat kaitan antara pengilang sirap ubat batuk yang tercemar dengan kematian lebih 300 kanak-kanak di tiga negara, lapor REUTERS.
Memetik sumber, portal tersebut melaporkan WHO sedang mendapatkan lebih banyak maklumat tentang bahan mentah khusus yang digunakan oleh enam pengeluar di India dan Indonesia untuk menghasilkan ubatan yang dikaitkan dengan kematian itu.
Selain itu, siasatan terarah sama ada syarikat pengeluar terbabit memperoleh bekalan daripada pembekal sama, atau sebaliknya.
Bagaimanapun, WHO setakat ini tidak mendedahkan nama-nama pembekal yang sedang disiasat.
Sumber tersebut menambah, WHO turut mempertimbangkan menasihati keluarga di seluruh dunia untuk menilai semula penggunaan sirap ubat batuk kepada kanak-kanak selagi isu keselamatan melibatkan beberapa produk belum dapat diselesaikan.
Dalam masa yang sama, WHO, jelas sumber tersebut lagi sedang menilai bukti sama ada, atau bila, sirap ubat batuk diperlukan dari segi perubatan kepada kanak-kanak.
Pada Julai tahun lalu, lebih 300 kanak-kanak berumur bawah lima tahun meninggal dunia akibat kecederaan buah pinggang yang teruk di Gambia, Indonesia dan Uzbekistan, yang dikaitkan dengan ubat batuk tercemar.
Ubat batuk sirap tersebut, yang dijual secara berleluasa didakwa mempunyai kandungan dietilena glikol dan etilena glikol.
Setakat ini, WHO telah mengeluarkan amaran kepada syarikat pengeluar, Maiden Pharmaceuticals dan Marion Biotech yang dikaitkan dengan kematian di Gambia dan Uzbekistan.
Amaran turut dikeluarkan untuk ubat batuk dari empat pengeluar Indonesia, iaitu PT Yarindo Farmatama, PT Universal Pharmaceutical, PT Konimex serta PT AFI Pharma.
WHO dijangka mengulas lanjut mengenai status ubat sirap batuk dalam sidang akhbar pada Selasa waktu tempatan.