Kematian ketua kumpulan Wagner disengajakan - Perisikan AS
Astro Awani
Ogos 24, 2023 07:00 MYT
Ogos 24, 2023 07:00 MYT
PENILAIAN awal pihak perisikan Amerika Syarikat (AS) menyimpulan bahawa kemalangan pesawat yang mengorbankan ketua kumpulan askar upahan Wagner Rusia, Yevgeny Prigozhin, sebagai satu langkah yang disengajakan oleh kepimpinan Rusia.
Pihak perisikan AS menegaskan bahawa Prigozhin merupakan individu yang menjadi sasaran kerana dianggap mencabar kempimpinan Presiden Rusia, Vladimir Putin selama 23 tahun.
Jelas perisikan AS lagi, langkah membunuh Prigozhin adalah usaha Putin untuk menghapus kritikan yang sering diberikan oleh mendiang.
Selain itu, jurucakap Pentagon, Jeneral Pat Ryder, berkata bahawa peluru berpandu darat-ke-udara menjatuhkan pesawat itu adalah tidak tepat.
Bagaimanapun, Ryder enggan mengulas sama ada keberangkalian nahas tersebut ada kaitan dengan letupan bom.
Dalam pada itu, Presiden Joe Biden, berkata beliau percaya Putin bertanggungjawab terhadap kemalangan itu.
Pada Rabu, Kementerian Situasi Kecemasan Rusia berkata pesawat yang membawa ketua kumpulan askar upahan Wagner Rusia bersama sembilan yang lain terhempas sejurus berlepas dari Moscow menuju ke St Petersburg.
Berdasarkan maklumat awal, 10 penumpang termasuk tiga kru yang menaiki pesawat itu disahkan maut, selain mengesahkan Prigozhin turut berada dalam penerbangan terbabit.
Agensi berkenaan juga menyenaraikan Dmitry Utkin, seorang tokoh yang didakwa menguruskan operasi Wagner dan berkhidmat dalam risikan tentera Rusia, turut berada dalam pesawat terbabit.
Sementara itu, agensi berita tempatan Ria Novosti memetik perkhidmatan kecemasan, melaporkan lapan daripada 10 mangsa nahas tersebut sudah ditemui.
Prigozhin sebelum ini, menjadi perhatian ketika serangan Rusia di Ukraine yang dilancarkan pada 24 Februari 2022.
Sementara itu, Putin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa korban nahas pesawat tersebut pada Rabu.
Beliau juga menyifatkan kepimpinan Wagner yang terkorban dalam insiden itu memainkan peranan yang penting dalam membantu Rusia menghapuskan jejak rejim Neo Nazi di Ukraine.
Selain itu, Putin juga berkata bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan melupakan jasa signifikan yang telah diberikan oleh ketua pasukan Wagner tersebut.