Kematian George Floyd wajar jadi pengajaran

Astro Awani
Jun 11, 2020 08:30 MYT
Philonise mendesak Kongres AS untuk segera meluluskan reformasi yang akan mengurangkan keganasan polis. - Reuters
KONGRES Amerika Syarikat (AS) didesak untuk segera meluluskan reformasi yang akan mengurangkan keganasan polis.
Rayuan dinyatakan Philonise Floyd, adik kepada George Floyd yang mati akibat keganasan polis 25 Mei lalu.
Philonise membuat kenyataan itu di hadapan anggota Kongres, sehari selepas George disemadikan.
“Hentikan kesakitan ini. George merayu bantuan dan dia tidak diendahkan. Tolong dengar rayuan yang saya nyatakan ini, desakan kepada keluarga kami, kepada mereka yang terlibat dalam protes jalanan di seluruh dunia.
“Penduduk dari pelbagai latar belakang, gender, dan kaum bersatu menuntut perubahan. Hargai mereka, hargai George dan laksanakan perubahan yang perlu untuk membolehkan penguatkuasaan undang-undang menjadi penyelesaian, bukan masalah.
“Pertanggungjawabkan mereka sekiranya mereka lakukan perkara yang salah. Ajar mereka untuk melayan individu lain dengan belas kasihan dan hormat. Ajar mereka tindakan yang wajar. Ajar mereka keganasan adalah tidak perlu, melainkan ketika nyawa mereka terancam,” ketanya.
Testimoni ini dibentang dua hari selepas barisan ahli Kongres Demokrat mengemukakan pelan reformasi bertujuan mengurangkan diskriminasi perkauman dalam penguatkuasaan undang-undang di negara tersebut.
George Floyd, 46 tahun, maut ketika dalam tahanan polis di Minneapolis.
Video anggota terlibat melutut di lehernya, tular sehingga mencetuskan kemarahan umum.
Bantahan terhadap insiden yang menimpa George mencetuskan protes besar-besaran di beberapa bandar utama AS dan turut merebak ke beberapa negara termasuk di Eropah.
#AS #George Floyd #keganasan #maut #polis #protes #reformasi #video
;