Kematian George Floyd: Minneapolis pertimbang rombak, mansuh jabatan polis
Agensi
Jun 8, 2020 05:30 MYT
Jun 8, 2020 05:30 MYT
Ahli Dewan Bandar Raya Minneapolis berjanji akan merombak semula pasukan polis mereka bagi membawa transformasi yang lebih adil kepada masyarakat.
Tunjuk perasaan melanda seluruh dunia selepas seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata George Floyd, 46, maut ketika ditahan seorang polis berkulit putih di Minneapolis, Minnesota, kira-kira dua minggu lalu.
"Kami komited untuk merombak dan menyusun semula semua polisi dan membangun kembali komuniti dengan model keselamatan awam yang benar-benar menjaga keselamatan setiap anggota masyarakat," kata Presidennya, Lisa Bender kepada CNN.
Bender berkata dia merancang mengalihkan dana jabatan polis ke strategi yang berasaskan komuniti dan tidak menolak kemungkinan mencari cara lain bagi mengganti jabatan polis sedia ada.
"Idea untuk tidak mempunyai jabatan polis bukan bersifat jangka pendek," tambahnya.
Bender dan anggota majlis lain juga memaklumkan mereka sedang menganalisis panggilan ke talian 911 yang sering dibuat orang awam dan mendapati kebanyakannya adalah untuk perkhidmatan kesihatan mental, kecemasan kesihatan dan kebakaran.
Floyd maut selepas seorang anggota polis, Derek Chauvin, yang berkulit putih, menekan lutut di lehernya hingga dia tidak boleh bernafas, lantas mencetus kemarahan dan protes bukan sahaja di Amerika Syarikat malah di seluruh dunia.