Kematian George Floyd: Majlis Bandaraya Minneapolis bayar AS$27 juta kepada keluarga
Astro Awani
Mac 12, 2021 06:16 MYT
Mac 12, 2021 06:16 MYT
MINNEAPOLIS: Majlis Bandaraya Minneapolis bersetuju untuk membayar AS$27 juta untuk menyelesaikan tuntutan sivil daripada keluarga George Floyd berhubung kematian lelaki kulit hitam itu dalam tahanan polis.
Penyelesaian itu diumumkan ketika pemilihan juri masih lagi berjalan dalam perbicaraan Derek Chauvin, bekas pegawai polis berkulit putih yang dituduh membunuh Floyd.
Peguam keluarga Floyd, Ben Crump mengadakan sidang akhbar bersama keluarga Floyd dan pegawai Minneapolis untuk umumkan perkara berkenaan.
“Peguam kami serta Majlis Bandaraya Minneapolis dan para pemimpinnya telah menyelesaikan tuntutan sivil dalam kematian George Floyd.
“Penyelesaian ini bukan hanya bersejarah kerana pembayaran AS$27 juta itu, tetapi kesannya terhadap dasar reformasi keadilan sosial dan reformasi polis,” katanya.
Floyd maut pada 25 Mei setelah Chauvin menekan lutut ke lehernya selama kira-kira sembilan minit.
Rakaman video Chauvin bertindak demikian tular dan kemudiannya mengundang protes besar-besaran di Minneapolis sebelum merebak ke bandar-bandar utama di negeri lain di Amerika Syarikat.
Keluarga Floyd memfailkan tuntutan hak sivil persekutuan pada bulan Julai tahun lepas terhadap bandar raya itu, Chauvin dan tiga pegawai lain yang dipecat selepas didakwa menyebabkan kematiannya.