Kematian di hotel Bangkok: PM Vietnam gesa perlindungan warga
Bernama
Julai 18, 2024 21:04 MYT
Julai 18, 2024 21:04 MYT
HANOI: Perdana Menteri Pham Minh Chinh pada 17 Julai meminta Kementerian Luar (MoFA) untuk berkoordinasi rapat dengan pihak Thailand dalam siasatan dan perlindungan warga selepas kematian empat warga Vietnam di sebuah hotel di Bangkok.
Dalam satu arahan rasmi yang dihantar kepada MoFA, Kementerian Keselamatan Awam dan Duta Besar Vietnam ke Thailand, PM berkata empat warga Vietnam bersama dua lagi yang berketurunan Vietnam ditemukan maut di Hotel Grand Hyatt Erawan pada 16 Julai, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Kementerian Luar diminta melindungi hak dan kepentingan sah warga Vietnam, mengendalikan hubungan luar dengan Thailand dan memberikan maklumat terkini mengenai kes itu kepada media dan orang ramai.
PM juga menggesa Kementerian Keselamatan Awam untuk menyelaras dengan pihak berkaitan dalam kerja siasatan atas permintaan Thailand dan memberikan maklumat mengenai keluarga mangsa kepada MoFA untuk tujuan perlindungan warga.
Duta perlu mengarahkan kedutaan untuk memantau kes itu, membuat laporan tepat pada masanya mengenai perkembangan dan pendapat umum, melaksanakan langkah-langkah perlindungan warga, serta melawat keluarga mangsa dan membantu mereka dengan prosedur yang diperlukan.
Pakar perubatan di Hospital Memorial Raja Chulalongkorn, Thailand pada 17 Julai mengesahkan bahawa enam individu itu meninggal dunia akibat keracunan sianida.
Mereka mengatakan bahawa enam kematian itu berlaku kira-kira 12 hingga 24 jam sebelum polis tiba di lokasi kejadian.
Mayat mangsa menunjukkan kesan bahan kimia yang bertindak pantas dan bibir berwarna ungu, menunjukkan kekurangan oksigen, kata wakil Hospital Chulalongkorn kepada pemberita, sambil menambah lebih banyak ujian sedang dijalankan.
-- BERNAMA