Kematian babitkan nahas pesawat meningkat pada tahun 2020 - Rekod kajian
Agensi
Januari 2, 2021 13:30 MYT
Januari 2, 2021 13:30 MYT
MESKIPUN dunia menyaksikan kadar penerbangan paling kurang pada tahun 2020 berikutan pandemik COVID-19, namun satu kajian mendapati jumlah orang yang terkorban membabitkan nahas pesawat komersial meningkat iaitu sebanyak 299 orang, lapor portal berita The Guardian.
Kajian sebuah firma perunding Belanda memberitahu, pada tahun sama, terdapat 40 kemalangan melibatkan pesawat penumpang komersial besar dan lima daripadanya mengakibatkan 299 orang terbunuh.
Menurut perunding firma penerbangan To70, pada tahun 2019 pula, terdapat hampur dua kali ganda jumlah kemalangan melibatkan pesawat penerbangan berkenaan iaitu 86 kejadian, namun lapan daripadanya menyebabkan kematian seramai 257 orang.
Menurut To70, pesawat komersial (bersaiz) besar mengalami 0.27 kemalangan maut per juta penerbangan pada tahun 2020 atau satu nahas maut setiap 3.7 juta penerbangan.
Kadar itu, katanya, menyaksikan peningkatan daripada 0.18 kemalangan maut per juta penerbangan pada tahun 2019.
"Syarikat penerbangan secara drastik mengurangkan jumlah penerbangan yang mereka pada tahun 2020 ketika wabak itu terjadi, dengan Flightradar24 melaporkan penerbangan komersial yang dikesan di seluruh dunia pada tahun 2020 jatuh 42 peratus atau 24.4 juta.
"Lebih separuh daripada semua kematian adalah 176 orang terbunuh pada Januari 2020 ketika sebuah pesawat Ukraine ditembak jatuh di ruang udara Iran.
"Kedua adalah kejadian paling dasyat iaitu kemalangan membabitkan sebuah pesawat Pakistan pada Mei lalu menyebabkan 98 orang terbunuh," katanya yang dipetik laporan agensi.
Selama dua dekad lalu, kematian penerbangan menyaksikan penurunan secara mendadak.
Sementara itu, Jaringan Keselamatan Penerbangan (ASN) berkata, pada tahun 2005, terdapat 1.015 kematian dalam penerbangan penumpang komersial di seluruh dunia.
"Selama lima tahun kebelakangan ini, terdapat rata-rata 14 kemalangan maut bagi pesawat penumpang dan kargo komersial yang mengakibatkan 345 kematian setiap tahun," katanya.
Dalam pada itu, sepanjang tahun 2017 pula disifatkan sebagai tahun paling selamat di dunia apabila merekodkan dua kemalangan maut melibatkan pesawat turboprop yang menyebabkan 13 kematian dan tidak melibatkan kemalangan pesawat komersial.
"Amerika Syarikat (AS) tidak mengalami kemalangan penerbangan komersial sejak Februari 2009 dan hanya satu kematian akibat kemalangan syarikat penerbangan negara itu dalam tempoh tersebut," jelasnya.
#pesawat penumpang
#penerbangan
#pandemik
#COVID-19
#Amerika Syarikat
#kemalangan
#keselamatan
#pesawat
#jumlah kemalangan penerbangan
#Dunia