Kemasukan lebih ketat untuk pelancong dari China - PM Jepun

Agensi
Januari 4, 2023 21:10 MYT
Jepun akan terus meminta syarikat penerbangan mengehadkan penerbangan tambahan dari China. - Gambar fail/Reuters
TOKYO: Kerajaan Jepun dilaporkan bakal memperketatkan kemasukan pelancong dari China ke negara itu bermula Ahad ini (8 Jan) sebagai langkah kawalan terhadap wabak COVID-19.
Memetik laporan CNA, Perdana Menteri Fumio Kishida memaklumkan, langkah ini adalah sebagai tindak balas kepada lonjakan jangkitan di kalangan pengunjung dari China.
“Langkah tambahan akan memerlukan ujian COVID-19 menunjukkan hasil negatif sebelum penumpang menaiki penerbangan terus dari China.
“Jepun akan terus meminta syarikat penerbangan mengehadkan penerbangan tambahan dari China,” kata Kishida.
Tambah beliau, sekatan masih dilaksanakan dalam mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah jangkitan.
Keputusan itu menyusuli keputusan ujian COVID-19 ke atas pelancong dari China beberapa hari kebelakangan ini seiring peraturan dilaksanakan di negara lain.
Statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan Jepun melaporkan 53 daripada 56 pelancong antarabangsa yang disahkan positif COVID-19 di ruang ketibaan lapangan terbang semalam merupakan pelancong dari China.
Isnin lalu, seramai 26 pelancong yang tiba dari China menunjukkan hasil keputusan positif COVID-19.
#Fumio Kishida #kementerian kesihatan jepun #pelancong #COVID-19
;