Kemas kini konfigurasi jejas Falcon Sensor, Windows OS - CrowdStrike

Bernama
Julai 25, 2024 02:10 MYT
CrowdStrike mengucapkan terima kasih kepada pelanggan dan rakan kongsi industri atas sokongan dan bantuan susulan kejadian kemas kini kandungan yang bermasalah.
ISTANBUL: CrowdStrike pada Rabu memaklumkan kemas kini konfigurasi kandungan menjejaskan Falcon Sensor, yang melindungi kawasan berisiko utama dan Sistem Pengendalian Windows menyebabkan gangguan teknologi maklumat global minggu lepas, lapor Agensi Anadolu.
Firma teknologi keselamatan siber Amerika itu memaklumkan pihaknya mengeluarkan kemas kini konfigurasi kandungan pada Jumaat untuk sensor Windows bagi mengumpulkan telemetri mengenai kemungkinan teknik ancaman baharu, yang merupakan sebahagian daripada mekanisme perlindungan dinamik platform Falcon.
Kemas kini konfigurasi Kandungan Rapid Response yang bermasalah bagaimanapun mengakibatkan ranap sistem Windows.
Sistem yang terjejas termasuk hos Windows yang menjalankan sensor versi 7.11 dan ke atas yang berada dalam talian pada Jumaat telah menerima kemas kini, manakala hos Mac dan Linux tidak terjejas.
Kecacatan dalam kemas kini kandungan telah dipulihkan lewat Jumaat, menurut syarikat itu dalam tinjauan awal selepas kejadian.
"Teknik pemulihan automatik, bersama rakan kongsi penyampaian perkhidmatan strategik telah mempercepatkan penyelesaian dengan pantas.
"Kami menyedari impaknya dan amat menyesali perkara ini berlaku.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami dan rakan kongsi industri atas sokongan dan bantuan mereka selepas kemas kini kandungan yang bermasalah.
"Kami tahu apa yang berlaku dan memastikan ia tidak berlaku lagi," menurut CrowdStrike di platform X.
Gangguan global melanda ribuan komputer di seluruh dunia pada Jumaat dan menyebabkan gangguan pada peranti yang menggunakan sistem pengendalian Windows.
-- BERNAMA
#Crowdstrike #gangguan IT global #Falcon #kemas kini kandungan