Kemarau teruk: PM Thailand arah pengeluaran beras dikurangkan

Agensi
Februari 24, 2016 21:16 MYT
Golongan pesawah yang tidak dapat bekalan air yang cukup untuk padi mereka kini semakin kekurangan pendapatan, malah semakin ramai yang menanggung hutang. - Foto AFP
Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha pada Rabu mengarahkan para petani supaya mengurangkan pengeluaran beras bagi membantu negara itu menguruskan krisis air yang semakin memburuk, lapor AFP.
Tindakan itu perlu dibuat berikutan kemarau paling teruk dalam tempoh beberapa dekad yang kini melanda beberapa wilayah di negara itu pada tahun ini.
Pemimpin tertinggi tentera itu, yang terlibat dalam rampasan kuasa pada dua tahun lalu, berkata pentadbirannya sedang megusahakan strategi 20 tahun untuk mempelbagaikan sektor agrikultur negara itu.
Sejak sekian lama, Thailand terlalu bergantung kepada pengeluaran beras yang banyak menggunakan bekalan air.
Thailand adalah salah satu daripada pengeksport beras utama di dunia, namun sejak menerima hujan di bawah paras sederhana selama empat tahun berturut-turut, rizab air negara itu semakin susut hinggakan saluran pengairan mengering.
Golongan pesawah yang tidak dapat bekalan air yang cukup untuk padi mereka kini semakin kekurangan pendapatan, malah semakin ramai yang menanggung hutang.
“Kita perlu mencari jalan untuk menggalakkan petani menukar hasil tanaman mereka,” ujar Prayut sambil menambah hal pengurusan air negara itu yang semakin tenat perlu menjadi teras perancangan agrikultur.
Menurut Prayut, Thailand dijangka mengeluarkan sekitar 25 juta tan beras tahun ini, tanpa memberitahu paras pengurangan yang bakal terjadi pada tahun-tahun seterusnya.
Simpanan air Negara Gajah Putih itu menjunam lebih rendah daripada tahun lalu. Menurut pakar kaji cuaca tempatan Anond Sanidvongs, tahun 2016 diramalkan tahun paling kering dalam tempoh 40 hingga 50 tahun.
#pengeluaran beras dikurangkan #Prayut Chan-O-Cha #saluran pengairan kering #Thailand kemarau
;