Kemangkatan Ratu Elizabeth II: Putera William, Kate Middleton dapat gelaran baharu

Agensi
September 9, 2022 21:23 MYT
William dan Kate kini dikenali sebagai Duke dan Duchess of Cornwall dan Cambridge.- Chris Jackson/Pool via Reuters
LONDON: Putera William dan isterinya, Kate Middleton menerima gelaran baharu susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II pada Khamis.
Akaun media sosial yang dikendalikan oleh Kensington Palace, kediaman rasmi William dan Kate, telah dikemas kini dengan merujuk kepada mereka sebagai Duke dan Duchess of Cornwall dan Cambridge.
Secara tradisinya, gelaran Duke of Cornwall dipegang oleh anak sulung raja yang memerintah manakala isterinya diberi gelaran Duchess.
Sebelum ini, William dan Kate dikenali sebagai Duke dan Duchess of Cambridge, gelaran yang diberikan pada April 2011.
Selain itu, pasangan tersebut juga dijangka memegang gelaran 'Prince dan Princess of Wales'.
Gelaran itu sebelum ini dipegang oleh Charles sehingga kemangkatan bondanya.
William dan Kate berkahwin pada 2011 dan mempunyai tiga orang anak iaitu Putera George, Puteri Charlotte dan Putera Louis.
Pada Ogos 2022, tinjauan YouGov meletakkan William dan Kate sebagai kerabat diraja kedua dan ketiga kegemaran orang ramai, selepas Ratu.
"Saya rasa William dan Kate mencerminkan Ratu dan suaminya Philip, semasa mereka muda.
"Mereka memberikan monarki, kemodenan yang mungkin diperlukan untuk membantu kesinambungannya," kata wartawan veteran diraja, Robert Jobson kepada AFP.
Awal hari ini media melaporkan, Ratu Elizabeth II, pemerintah paling lama dalam sejarah dunia moden, menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari Khamis (waktu tempatan).
Baginda mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland, kata kenyataan Istana Buckingham.
Serentak pengumuman itu, bendera di United Kingdom (UK) dikibarkan separuh tiang, sementara semua jadual siaran televisyen dan radio dikemas kini, bagi menghormati kemangkatan baginda.
#Ratu Elizabeth II #Kate Middleton #Putera William #Duke of Cornwall #Cornwall dan Cambridge
;