Kemangkatan Raja Bhumibol: Hishammuddin ucap takziah di Kedutaan Besar Diraja Thai

Israr Khalid
Oktober 19, 2016 13:35 MYT
Hishammuddin menandatangani buku ucapan takziah di Kedutaan Besar Diraja Thailand di Jalan Ampang hari ini. - Foto Astro AWANI / Israr Khalid
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyampaikan salam takziah kepada kerabat diraja Thailand serta seluruh rakyatnya atas kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej.
Beliau turut menandatangani buku ucapan takziah di Kedutaan Besar Diraja Thailand di Jalan Ampang hari ini.
Ketibaan beliau bersama isteri, Tengku Marsilla Tengku Abdullah disambut Duta Besar Thailand, Damrong Kraikruan dan isteri Suwanna Phukphat.
Kata Hishamuddin dalam ucapan takziahnya, "baginda telah memerintah dengan penuh integriti dan rasa belas kasihan, diingati sebagai seorang pembawa keamanan, perpaduan dan kemakmuran.
"Baginda telah meninggalkan legasi yang akan dihargai oleh generasi akan datang."
Jambangan bunga juga kelihatan di dalam dan luar kedutaan yang diletakkan sebagai tanda dukacita dan ucapan takziah oleh rakyat Thai yang berada di Kuala Lumpur.
Raja Bhumibol mangkat pada usia 88 tahun selepas memerintah Thailand selama tujuh dekad, menjadikannya raja paling lama memerintah sebuah negara di dunia.
Putera Vajiralongkorn dijangka akan menggantikan bapanya sebagai Raja Thailand yang baru.
Bagaimanapun, putera pertama Raja Bhumibol itu menyatakan hanya akan naik takhta dan ditabalkan selepas selesai semua upacara keagamaan dan adat permakaman selesai serta tamat tempoh berkabung selama setahun.
#Bhumibol Adulyadej #Hishammuddin Tun Hussein #salam takziah #Thailand
;