Kemalangan van sekolah di Pakistan ragut 19 nyawa

Agensi
Januari 15, 2014 07:49 MYT
Proses mengangkut bangkai van dari lokasi kejadian berhampiran Bandar Nawabshah, lebih 270 kilometer utara Karachi di bahagian selatan wilayah Sindh. --AFP PHOTO/Yousuf NAGORI
Sekurang-kurangnya 19 orang termasuk 17 kanak-kanak terbunuh di Pakistan pada Rabu apabila van sekolah yang dinaiki mereka merempuh sebuah trak muatan berat.
Kemalangan tersebut berlaku berhampiran bandar Nawabshah kira-kira 270 kilometer ke utara Karachi wilayah selatan Sindh.
Kanak-kanak yang terbunuh yang juga merupakan pelajar Bright Future School yang terletak berhampiran bandar Daulatpur yang dipercayai menyertai rombongan sekolah ke Nawabshah.
Van mereka dalam perjalanan pulang ke Daulatpur ketika kemalangan itu berlaku.
"19 mayat telah dikenalpasti dan 17 daripadanya adalah kanak-kanak” kata Ketua Hospital Awam Nawabshah Doktor Hashim Langa.
" Kanak-kanak yang terlibat adalah dalam lingkungan umur lima hingga 16 tahun” katanya kepada AFP.
Menurut Hashim lagi, 15 hingga 20 orang yang cedera masih dirawat di hospital. Polis berkata punca kemalangan mungkin disebabkan pemandu memandu dalam keadaan bahaya.
"Kami sedang menyiasat punca kemalangan, namun perkara ini mungkin berpunca dari kecuaian salah seorang pemandu” kata Pegawai Kanan Polis Asif Ali Pechuho kepada AFP.
Pemandu van sekolah adalah antara mangsa yang meninggal dunia.
Pakistan merupakan negara yang mempunyai rekod kemalangan maut paling buruk di dunia.
Ini adalah disebab struktur jalan yang teruk, kenderaan yang tidak diselenggarakan dengan elok dan kecuaian dalam pemanduan.
Kemalangan yang melibatkan jumlah mangsa yang tinggi adalah perkara biasa di sana.
#Bright Future School #kemalangan #Nawabshah #Pakistan
;