Kemalangan jalan raya ragut 436 nyawa ketika musim perayaan tahun baharu di Thailand

Bernama
Januari 6, 2025 04:30 MYT
Punca utama kemalangan adalah memandu laju dan memotong kenderaan di hadapan, manakala motosikal terlibat dalam kebanyakan insiden. - Gambar hiasan
BANGKOK: Sebanyak 436 kematian dan 2,376 kecederaan direkodkan dalam 2,467 kemalangan jalan raya di seluruh Thailand semasa musim perjalanan Tahun Baharu dari 27 Disember hingga 5 Januari, menurut data rasmi pada Isnin, lapor Xinhua.
Tempoh perjalanan berisiko tinggi selama 10 hari itu menyaksikan penurunan jumlah kemalangan dan kecederaan, meskipun angka korban meningkat berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Songsak Thongsri.
Sepanjang kempen keselamatan jalan raya, ibu negara Bangkok mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 26 mangsa, menurut Songsak pada sidang media.
Punca utama kemalangan adalah memandu laju dan memotong kenderaan di hadapan, manakala motosikal terlibat dalam kebanyakan insiden, katanya.
Songsak menekankan keperluan usaha bersepadu antara sektor berkaitan untuk secara proaktif mengurangkan risiko kemalangan jalan raya, selain penguatkuasaan undang-undang yang ketat secara berterusan sepanjang tahun.
Kerajaan Thailand berhasrat mencapai sasaran nasional untuk mengurangkan kadar kematian jalan raya kepada 12 bagi setiap 100,000 penduduk menjelang 2027. - BERNAMA
#kemalangan #tahun baharu #Thailand #korban nyawa
;