Kemalangan Ebrahim Raisi disebabkan cuaca - Laporan

Astro Awani
Ogos 22, 2024 08:30 MYT
Helikopter yang membawa Raisi ketika berlepas di sempadan Iran-Azerbaijan pada Mei lepas. - Foto fail/REUTERS
DUBAI: Faktor cuaca dan ketidakupayaan menampung berat yang dibawanya menjadi punca helikopter dinaiki Presiden Iran, Ebrahim Raisi terhempas pada Mei lalu.
Perkara itu dilapor agensi berita separa rasmi Iran pada Rabu yang memetik sumber keselamatan mengenai keputusan siasatan akhir nahas itu.
Laporan awal oleh tentera Iran telah mengesahkan bahawa tiada bukti kesalahan atau serangan ditemui semasa siasatan.
Laporan berita FARS yang memetik sumber keselamatan berkata, siasatan nahas itu telah selesai dan dirumuskan bahawa apa yang berlaku merupakan satu kemalangan.
Agensi tersebut memetik laporan siasatan yang menyatakan bahawa helikopter itu telah terlebih muatan ekoran membawa tambahan dua individu, lebih daripada kapasiti yang dibenarkan oleh protokol keselamatan.
Bagaimanapun, Pusat Komunikasi Staf Am Angkatan Tentera, yang bertanggungjawab menerbitkan maklumat mengenai siasatan nahas berkata, laporan itu adalah palsu.
Raisi terbunuh dalam nahas di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Azerbaijan.
#Ebrahim Raisi #nahas helikopter #terhempas #faktor cuaca