Kemalangan basikal, Richard Branson sangka sudah mati

Agensi
Ogos 27, 2016 15:25 MYT
Richard Branson sempat berseloroh dengan jurukamera sambil menunjukkan 'thumbs-up' menunjukkan beliau selamat. - Foto AFP
“SAYA fikir saya akan mati,” ujar ikon industri penerbangan Richard Branson berkenaan kemalangan yang menimpanya awal minggu ini ketika berbasikal di British Virgin Islands.
Dalam kemalangan itu, Branson mengalami kecederaan di bahagian pipi dan ligamennya terkoyak.
Pengasas empayar Virgin itu menjelaskan kemalangan itu berlaku apabila dia terlanggar sebuah bonggol pada jalan ketika berbasikal bersama anak-anaknya, Holly dan Sam.
“Saya terpelanting melepasi pemegang basikal dan sekelip mata seluruh hidup saya terimbau semula,” ujar hartawan 66 tahun itu dalam kiriman blognya yang disertakan dengan foto-foto beliau tercedera.
Branson turut menambah, topi keledar yang dipakai telah menyelamatkan nyawanya.
Gemar cabaran
Branson bukan sahaja terkenal pengasas sebuah empayar penerbangan, namun personaliti ini sinonim dengan aktiviti lasak dan mencabar.
Beliau dilaporkan sudah mencuba beberapa kali untuk terbang mengelilingi dunia tanpa henti dengan belon udara namun masih belum berjaya.
Pada tahun 1998, Branson hampir ditimpa tragedi apabila tekanan udara rendah menyebabkan belon udaranya jatuh di Lautan Pasifik.
Percubaan pelancongan angkasa lepasnya pada tahun 2014 menerusi Virgin Galactic turut menemui kegagalan apabila letupan kapal angkasa mengorbankan seorang pembantu juruterbang.
#Richard Branson #Virgin Airlines #Virgin Group
;