Kemajuan ‘Bandar Singa’, cerita daya tahan kendiri mendepani dunia

Irfan Faruqi
Oktober 6, 2024 10:15 MYT
Masagos Zulkifli berkata Singapura membangun sebagai sebuah negara kecil dengan prinsip kepelbagaian kaum, meritokrasi, daya tahan dan integriti. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kiasu. Istilah paling sinonim dengan Singapura bagi menggambarkan pemacu, budaya dan mentaliti republik itu dalam pelbagai aspek kehidupan.

Ringkasan AI
  • Ekonomi dan Pembangunan: Singapura adalah antara 30 ekonomi utama dunia dengan KDNK per capita hampir AS$90,000.
  • Budaya Kerja dan Meritokrasi: Budaya kerja keras dan meritokrasi adalah asas kepada kejayaan Singapura.
  • Program Sosial dan Mobiliti: Membantu warga yang berkehendak mengubah nasib sendiri melalui pendidikan dan pementoran.

Dalam konteks Asia Tenggara, Singapura merupakan sebuah ekonomi dengan nilai lebih AS$500 bilion, yang juga antara 30 ekonomi utama dunia. Dengan rekod Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per capita hampir AS$90,000, ia menempatkan republik di tangga teratas dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Dari aspek berbeza, Smart City Index 2024, nobatkan negara seluas kira-kira 735 kilometer itu sebagai bandar paling pintar di Asia. Dalam persaingan membina pusat data mega dalam perlumbaan digitalisasi, Singapura mengoperasikan lebih 70 pusat data, antara hub terbesar dunia.
Seluruh angka-angka nasional ini merupakan terjemahan kepada cerita lebih peribadi bagi warga Singapura yang mungkin boleh dirangkumkan sebagai naluri semulajadi untuk memecut sepantas mungkin bagi mengecapi hasil terbaik.
BACA JUGA: Mengurus pembangunan tanah secara hemat dan mampan
Sentimen ini dikongsikan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Menteri Kedua Kesihatan & Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa di temui media dalam Malaysian Journalist Visit Programme (MJVP) 2024 anjuran Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada akhir Julai lalu.
“Ini DNA kami. Lee Kuan Yew kata kami merupakan rakyat paling kuat bekerja di dunia. Saya juga fikir begitu. Mungkin kerana persaingan dan sistem yang ada. Ini pendapat saya. Puncanya adalah kerana kami tidak ada apa-apa.
“Singapura banyak yang kurang. Kami tidak ada cukup air. Kami ambil dan beli air dari Malaysia. Beginilah masyarakat kami secara alami sejak mula iaitu sedar kami perlu kerja kuat. Ini takdir kami,” katanya.
[LANGSUNG] Agenda AWANI: Singapore 59: On talent development & shared prosperity | 12 Ogos 2024
Demikianlah bagaimana pembentukan Singapura membentuk sikap warganya. Seterusnya mencorak sistem keseluruhan negara titik merah berkenaan. Masagos Zulkifli berkata empat prinsip utama dalam setiap keputusan dasar Singapura ialah kepelbagaian kaum, meritokrasi, daya tahan dan integriti.
Ini bermakna tidak ada hak istimewa untuk satu kaum semata-mata. Segala dasar kerajaan dan sistem kemasyarakatan termasuk pendidik, pemilikan rumah, membina perniagaan dan penempatan kerja adalah suatu persaingan terbuka yang menganugerahkan kemenangan kepada bakat terbaik.
“Keluarga saya berjaya keluar (dari kemiskinan) dengan belajar bersungguh-sungguh sebelum diberikan peluang. Semasa saya mula-mula sertai Singtel (Singapore Telecoms), saya merupakan jurutera Melayu pertama.
“Saya ingatkan mereka tidak mahu jurutera Melayu. Itu bukan sebabnya, kerana untuk menyertai Singtel, pemohon mestilah seorang graduan kelas pertama dengan kepujian. Semua (jurutera Singtel) ialah graduan kelas pertama.
“Ketika itu sukar untuk cari Melayu di universiti kerana hanya 0.4 peratus orang Melayu masuk universiti (memiliki ijazah). Pada 2020, 10.8 peratus graduan ialah Melayu,” katanya.
Menurut Masagos Zulkifli, warga Singapura faham bahawa meritokrasi yang membolehkan bakat terbaik menyerlah dan menyumbang kepada negara adalah sangat penting.
Oleh yang demikian, beliau menegaskan masyarakat Melayu Singapura menyelesaikan hambatan sekitar 50 peratus warga komuniti yang tidak menghabiskan persekolahan dengan menggunakan pendekatan seluruh negara atau whole of nation dengan dokongan kerajaan.
“Tidak ada kompromi (bagi orang Melayu). Perkara yang paling mustahak ialah daya tahan dan meritokrasi. Pada kami, keberanian untuk memahami masalah dan menyelesaikan masalah tersebut. 40 tahun lalu, komuniti kami bersepakat untuk memahami segala isu sosial secara menyeluruh, termasuk pendidikan,” tambahnya.
Tiada hak istimewa, bersaing di padang terbuka dengan berbekal bakal dan kecekalan kendiri ini merupakan tema umum dalam setiap aspek pembangunan.
Namun, Singapura juga faham bahawa sedikit tujahan diperlukan untuk memastikan masyarakat boleh melonjak ke hadapan. Pun begitu, mobiliti sosial ini tetap bertunjangkan kepada prinsip yang sama iaitu bantuan serta subsidi yang diberikan bukan atas dasar ihsan membabi buta, sebaliknya insentif yang disediakan adalah sebagai pemangkin kepada keinginan individu untuk memastikan nasib diri terjaga.
“Tiga S - Stability, Self-reliance and Social mobility (Kestabilan, Daya Tahan dan Mobiliti Sosial). Bagi setiap keluarga, upayakan mereka untuk berdaya tahan. Jaga diri mereka sendiri, jadi lebih baik. Biarkan mereka lakukan sendiri.
“Mereka ada maruah dan keupayaan. Percaya bahawa mereka boleh lakukan. Meskipun mereka miskin, mereka mahu berusaha sendiri. Berikan mereka keupayaan. Jangan beri ikan setiap hari, ajarkan kepada mereka untuk memancing.
“Mereka boleh lakukan ini melalui pendidikan atau pementoran. Juga, bawa pulang orang-orang yang telah berjaya. Di sini meritokrasi boleh membantu,” tegasnya.
Oleh itu, program-program bantuan sosial Singapura tidak direka untuk memberi bantuan berdasarkan kepada kaum semata-mata, sebaliknya inisiatif-inisiatif yang disediakan terbuka kepada warga yang berkehendak untuk mengubah nasib sendiri.
BACA JUGA: Disiplin fiskal persiapan cabaran masa depan
Antara lain, SkillsFuture menyediakan elaun kepada peserta yang hilang pekerjaan dan individu yang berhenti kerja untuk menguasai kemahiran baharu. Pokoknya, peserta perlu ada kehendak dan usaha untuk menguasai kemahiran baharu.
Selain itu, program Community Link (ComLink+) menggunakan pendekatan pementoran yang mana seorang mentor membantu satu isi rumah untuk merancang pelan tindakan untuk membebaskan keluarga daripada kemiskinan. Ini termasuk perancangan pendidikan untuk anak-anak dan kewangan keluarga, seterusnya sebarang inisiatif kerajan yang layak didaftarkan akan dimudahcara oleh mentor berkenaan.
Dari sudut kesihatan, HealthierSG diperkenalkan untuk memastikan penjagaan kesihatan yang menyeluruh dan menjamin kelangsungan hayat yang sihat. Dengan rangkaian perkhidmatan kesihatan yang dekat dengan komuniti, inisiatif ini memastikan warga yang sihat untuk terus produktif dan penjagaan warga emas yang lebih efisien.
BACA JUGA: Mengurus bakat dalam senario populasi menua, menurun
Belajar dari pengalaman Singapura, pandangan sarwa yang memberi penekanan kepada kehendak sendiri untuk mengubah nasib tanpa bergantung kepada naratif ‘hak’ semata-mata, dipacu oleh sedikit insentif kerajaan yang dibiayai oleh cukai rakyat serta diurus secara bersih dan telus, mungkin langkah kehadapan untuk Malaysia mencapai tahap baharu sebagai sebuah kuasa ekonomi asia tengara, malahan global.
#ASEAN #Singapura #Keluaran Dalam Negara Kasar #ekonomi
;