Kem ajal Rukban
Syria Care
Oktober 17, 2018 13:21 MYT
Oktober 17, 2018 13:21 MYT
FENOMENA pelarian makan sampah bukan perkara luar biasa di kawasan yang dikepung di Syria. Dalam keadaan amat terdesak mangsa konflik tiada pilihan. Mati kebulur atau mengisi perut dengan apa sahaja yang boleh dirasakan mampu membuat mereka kenyang.
Pemandangan pelarian mengutip sisa buangan dan kemudian mengunyah apa yang diifikir boleh dimasuk ke perut menjadi satu kebiasaan di kem pelarian Rukban yang bersempadan dengan Jordan dan Iraq, selepas semua bantuan kemanusiaan yang membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan disekat dari dibawa masuk ke situ.
Gambar dan visual yang menjadi tular di medan sosial, hanya setakat menagih simpati kerana Damsyik tetap dengan pendiriannya untuk tidak membenarkan bantuan melepasi sekatan yang dibuat.
Sama juga dengan Jordan, tanpa perasaan ihsan dengan menjadikan keselamatan sebagai faktor, enggan bertolak ansur dan tetap menutup pintu sempadan tanpa mempeduli nasib lebih 60,000 pelarian yang kebuluran.
Kem Rukban kini menjadi medan ajal. Puluhan ribu penghuninya menunggu masa untuk mati kerana kepupusan bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Bayangkan di tengah padang pasir yang kontang, apa yang boleh dijadikan sumber makanan untuk hidup. Sumber airpun amat terhad dan menjadi komuditi yang begitu mahal. Bagi 70 liter atau 18 gelen, ia dijual dengan harga AS$1.80 atau RM7.47. Ia bukan air bersih atau bertapis, tetapi penuh dengan keladak dan lumpur.
Meskipun kisah di kem Rukban diketengahkan, kegelisahan masyarakat antarabangsa terhadap nasib mereka tidak ke mana kerana badan dunia, seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC), Liga Arab tidak berani mengambil tindakan tegas.
Dalam laporannya, portal The National mendakwa Suruhanjaya bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) enggan memberi sebarang ulasan mengenai situasi sebenar kerana dikatakan perkara sensitif.
Gertakan media dan pemimpin dunia lebih terarah kepada misteri kehilangan koresponden Washington Post, Jamal Khashogi di Istanbul, Turki bukannya nasib pelarian yang kebuluran.
Keadaan itu meletakkan rejim Bashar al Assad dalam kedudukan selesa untuk meneruskan kepungan.
Mengambil inisiatif sendiri aktivis kemanusiaan yang terdiri dari rakyat Syria melancarkan kempen “Triangle of Death” bagi mendedahkan kepada masyarakat luar mengenai kedaifan dan kesengsaraan di kem Rukban.
Sekatan itu bukan perkara baru kerana ia dibuat beberapa bulan lepas. Cuma lebih seminggu lalu, ia diperketat di mana semua laluan dan sukarelawan kemanusiaan telah dihalang memasuki kem berkenaan.
"Wanita dan kanak-kanak sedang mati kerana terlalu lapar dan penyakit, berbelas mati hari demi hari.
“Sejarah tidak akan memaafkan kepada sesiapa yang membiarkan khemah kami menjadi kubur," kata Khalid Al Ali kepada portal The National.
Mengulas mengenai sekatan yang dibuat, Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) berkata, ia taktik yang digunakan regim selepas rundingan sebelum ini untuk mengusir saki baki kumpulan penentang dan keluarga mereka yang berada di situ, gagal.
Sama seperti kepungan yang dibuat ke atas Timur Ghoutah, Yarmouk dan beberapa kawasan lain sebelum ini, orang awam sekali lagi menjadi mangsa percaturan regim Bashar dan sekutunya Rusia.
Mereka kini berlindung di gurun yang gersang tanpa tumbuhan atau sumber makanan. Tanpa bantuan kemanusiaan dari luar, pelarian akan mati.
Jika ia berlaku, sekali lagi tragedi kemanusiaan umat Islam akan berulang dan ketika itu kem Rukban akan sebaris dengan Sebrenica di Bosnia Herzegovina, di mana penduduknya dikepung dan dibunuh tanpa belas kasihan lebih 20 tahun lalu. - Agensi/Teks oleh Razali Awang