Keluarga Perancis terkandas kerana anak terlalu gemuk untuk naik pesawat
AFP
November 8, 2013 13:16 MYT
November 8, 2013 13:16 MYT
Sebuah keluarga dari Perancis yang datang ke Amerika Syarikat untuk menjalani rawatan kesihatan terkandas di lapangan terbang di Chicago selepas syarikat penerbangan British Airways memutuskan anak mereka terlalu gemuk untuk menaiki pesawat.
Kevin Chenais, 22, dirawat selama setahun setengah di Mayo Clinic kerana masalah hormon tidak teratur yang menyebabkan beratnya mencecah sehingga 227 kilogram.
Ibunya hampir menangis ketika menceritakan masalah keluarganya itu kepada stesen televisyen rangkaian tempatan CBS.
"Kami salahkan British Airways kerana meninggalkan kami sedangkan merekalah yang menerbangkan kami ke sini," kata Christina Chenais kepada stesen televisyen itu.
"Jika mereka boleh bawa anak saya ke sini dalam keadaannya yang begitu dengan tiket penerbangan ekonomi, bawalah dia balik untuk dia meneruskan rawatannya (di negara sendiri)."
Keluarga itu tinggal selama seminggu di sebuah hotel di lapangan terbang itu untuk menyelesaikan masalah mereka. Keluarga itu kemudian kehabisan wang dan selepas itu memutuskan untuk menaiki keretapi ke New York sebelum menggunakan kapal persiaran Queen Mary merentas Lautan Atlantik.
Kevin Chenais memerlukan bantuan oksigen dan perhatian doktor sepanjang masa.
"Saya pasti banyak orang seperti saya atau yang lebih gemuk daripada saya menghadapi masalah yang sama," katanya kepada stesen televisyen itu.
"Saya tahu masalah ini akan timbul."
Jurucakap British Airways memberitah AFP bahagian khidmat pelanggan "berusaha keras untuk mencari penyelesaian".
"Kami selalu cuba membantu sekiranya terdaya dan selamat untuk berbuat demikian," kata Caroline Titmuss dalam emelnya.
"Malangnya, keadaan tidak memungkinkan untuk kami menempatkan penumpang itu dengan selamat dalam mana-mana pesawat dan keluarga tersebut telah ditawarkan pampasan penuh."
Syarikat penerbangan itu juga menyediakan hotel untuk keluarga berkenaan serta "bantuan dan sokongan" untuk mencari pilihan perjalanan yang lain.
Jurucakap pejabat konsulat Perancis memberitahu AFP ia "cuba mencari penyelesaian dengan British Airways tetapi syarikat penerbangan itu berpendirian tegas berhubung isu keselamatan".
Pejabat konsulat itu juga memberikan nama dua peguam yang mungkin boleh membantu mereka.
Keluarga Chenais tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.