Keluarga nahas pesawat Sriwijaya Air diberi taklimat sebelum laporan awal diumum
Agensi
Februari 10, 2021 13:23 MYT
Februari 10, 2021 13:23 MYT
JAKARTA: Penyiasat kemalangan udara Indonesia akan memberi taklimat kepada ahli keluarga dan saudara-mara 62 mangsa nahas Sriwijaya Air pada pagi Rabu, menjelang laporan awal nahas itu yang dijangka diumumkan pada petang ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh seorang anggota keluarga terbabit kepada agensi berita Reuters.
Bulan lepas, pesawat Boeing Co 737-500 berusia 26 tahun itu terhempas ke dalam Laut Jawa, menjadikan insiden itu kemalangan kapal terbang ketiga terburuk di Indonesia dalam tempoh lebih dari enam tahun.
Rafik Alaydrus, yang isterinya meninggal dalam nahas itu, mengatakan penyiasat pada hari Selasa memberitahu anggota keluarga bahawa punca nahas belum dapat ditentukan tetapi pelbagai faktor, termasuk kemungkinan masalah sistem ‘autotrottle’ pesawat, sedang disiasat.
"Bagi keluarga mangsa, kami tidak memahami mengenai masalah teknikal.
"Kami hanya menjawab kejadian ini telah berlaku dan mangsa harus mendapat pampasan yang sepatutnya,” katanya.
Penyiasat sudah menemui dan meneliti perakam Data Penerbangan Pesawat (FDR) dan menghantar bahagian pesawat, termasuk sistem ‘autothrottle’ yang mengawal kuasa enjin secara automatik ke Amerika Syarikat dan Britain untuk diperiksa.
Memetik sumber, Wall Street Journal bulan lalu melaporkan data FDR menunjukkan sistem ‘autothrottle’ pesawat malang itu tidak beroperasi dengan baik pada salah satu mesin pesawat ketika meninggalkan Jakarta.
Daripada mematikan sistem, FDR menunjukkan juruterbang berusaha membetulkan throttle yang tersekat, kata WSJ.
Situasi itu mewujudkan perbezaan kekuatan yang ketara antara enjin, menjadikan pesawat lebih sukar dikendalikan.
Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) Indonesia, Soerjanto Tjahjono minggu lalu mengatakan bahawa laporan WSJ tidak tepat dan lebih banyak maklumat akan diberikan dalam laporan awal KNKT nanti.
Pakar keselamatan mengatakan bahawa kebanyakan kemalangan udara disebabkan oleh gabungan faktor-faktor yang boleh memakan masa berbulan-bulan untuk disahkan.
Berdasarkan piawaian antarabangsa, laporan akhir dijadual diumumkan dalam masa satu tahun dari tarikh kemalangan itu.
#Sriwijaya Air
#Wall Street Journal
#Boeing
#Indonesia
#Jakarta
#kemalangan
#penerbangan
#terhempas
#kapal terbang
#pesawat
#mangsa
#keselamatan
#Nahas
#keluarga