Keluarga mangsa tembakan di set penggambaran saman Alec Baldwin

Astro Awani
Februari 16, 2022 09:12 MYT
Baldwin didakwa tidak mempraktikkan amalan standard industri perfileman bagi memastikan set penggambaran selamat. - Foto REUTERS
LOS ANGELES: Keluarga wanita yang terbunuh ketika penggambaran filem "Rust" memfailkan saman sivil terhadap pelakon Hollywood terkenal Alec Baldwin serta beberapa individu lain pada Selasa.
Mereka mendakwa kesemua yang dinamakan itu tidak mempraktikkan amalan standard industri perfileman bagi memastikan set penggambaran selamat.
Saman sivil berkenaan dikemukakan di Santa Fe, New Mexico bagi pihak Matthew Hutchins, suami kepada mendiang Halyna Hutchins serta anak mereka yang berusia 9 tahun.
"Saman ini menamakan Alec Baldwin dan beberapa individu lain yang bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan terjamin di set penggambaran.
"Tindakan mereka untuk mengurangkan kos telah menyebabkan kematian Halyna Hutchins," kata peguam Brian Panish dalam satu sidang media di Los Angeles.
Dalam kejadian pada 21 Oktober tahun lalu, pengarah seni filem berkenaan Halyna Hutchins terkorban manakala pengarah Joel Souza tercedera selepas terkena peluru hidup daripada pistol .45 kaliber Colt digunakan Baldwin.
Penggambaran filem, yang juga diterbitkan Baldwin itu, berlangsung di Bonanza Creek Ranch berdekatan Santa Fe, New Mexico.
Menurut peguam Baldwin dan penerbit lain filem "Rust", Aaron Dyer, dakwaan pelakon itu tidak mempedulikan isu keselamatan adalah palsu.
Sebelum ini Baldwin, yang terkenal dengan wataknya sebagai pegawai eksekutif saluran TV dalam siri komedi "30 Rock" berkata, dia diberitahu senjata yang digunakan itu adalah selamat untuk dipakai ketika penggambaran.
"Protokol yang diamalkan ini diguna dalam ribuan filem dan selepas jutaan tembakan yang telah dilepaskan sebelum ini, tidak berlaku sebarang insiden di set penggambaran yang melibatkan kecederaan akibat peluru hidup.
"Para pelakon sepatutnya boleh bergantung kepada kru set penggambaran bagi memastikan keselamatan terjamin dan tidak menentukan sendiri jika senjata yang digunakan itu adalah selamat," kata Dyer.
Namun Panish berkata, Baldwin sepatutnya bertanggungjawab di atas kejadian kerana pelakon itu memetik senjata yang menyebabkan kematian terhadap Halyna Hutchins.
"Senjata itu tidak akan melepaskan tembakan dengan sendiri. Baldwin yang memetik picu pistol berkenaan yang menyebabkan kematian Halyna Hutchins," katanya.
#Alec Baldwin #saman sivil #Rust #Halyna Hutchins
;