Keluarga mangsa perang dadah Filipina beralih ke pentas teater sebagai terapi
Agensi
Mac 5, 2020 07:24 MYT
Mac 5, 2020 07:24 MYT
Keluarga terdekat bagi sebahagian daripada ribuan individu yang terbunuh dalam perang dadah Filipina menzahirkan penderitaan mereka menerusi sebuah persembahan teater di Manila pada Rabu lalu.
Penglibatan mereka itu adalah salah satu cara pemulihan jiwa dalam program terapi selama sebulan yang dianjurkan khusus buat keluarga miskin bandar yang hiba akibat kehilangan orang terdekat dalam hidup mereka, lapor Reuters.
Para ibu, isteri dan anak-anak yang sedang dalam pilu muncul di atas pentas sebuah sekolah menengah di pusat komersial di ibu negara Filipina.
Kemunculan mereka disaksikan kira-kira 500 orang yang kebanyakannya pelajar.
Mereka menari sambil diiringi lagu-lagu pop dan mempersembahkan monolog serta sketsa politik.
"Jika anda lihat pada mereka yang terlibat (dalam pementasan), anda akan lihat mereka banyak tersenyum. Mereka menari dalam kegembiraan,” ujar penganjur, Flavie Villanueva.
Villanueva, bekas penagih dadah yang kemudiannya menjadi paderi, sangat kritikal terhadap kempen anti-dadah yang dilancarkan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.
"Kali pertama mereka datang kepada saya, hanya air mata, kedukaan dan kemarahan,’ ujar Villanueva, yang melancarkan 'Paghilom' – yang bermaksud pemulihan dalam bahasa Tagalog – pada 2016, untuk menenteramkan keluarga yang sedang bersedih.
Berdasarkan data kerajaan, lebih daripada 5,600 suspek pengedar dan pengguna dadah telah ditembak mati dalam operasi serbuan unit anti-dadah sejak Duterte menggalas jawatan tertinggi negara pada Julai 2006.
Ribuan lagi mati dalam keadaan yang misteri – ada yang ditembak mati oleh individu bersenjata api yang menaiki motosikal.
Kumpulan hak asasi berkata, pihak polis secara umumnya akan membunuh suspek. Namun, polis berkata, mereka bertindak sedemikian atas sebab suspek tidak memberi kerjasama sewaktu ditahan.
"Menerusi 'Paghilom,' saya lepaskan semua air mata saya," ujar Analyn Mamot, 33 tahun, yang suaminya, seorang pengguna dadah terlarang, dibunuh oleh penyerang bersenjata dua tahun lalu.
“Sekarang saya rasa seperti baharu, seperti mempunyai personaliti baharu dalam diri saya.”