Keluarga mangsa nahas MH17 saman Putin, Rusia di mahkamah Eropah
Agensi
Mei 21, 2016 21:24 MYT
Mei 21, 2016 21:24 MYT
Keluarga mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines MH17, yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014, akan menyaman Presiden Vladimir Putin dan Rusia sejumlah AU$10 juta (RM29.4 juta) setiap seorang di Mahkamah Hak Asasi manusia Eropah.
The Sydney Morning Herald pada Sabtu melaporkan, saman ganti rugi dan pampasan itu difailkan syarikat perundangan LHD Lawyers yang berpangkalan di Strasbourg pada 9 Mei bagi pihak 33 ahli keluarga terdekat dari Australia, New Zealand dan Malaysia.
Kesemua 298 penumpang dan anak kapal terkorban apabila pesawat Boeing 777 itu dihentam peluru berpandu anti-pesawat BUK buatan Rusia di zon konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
Dokumen-dokumen yang difailkan LHD Lawyers mendakwa Persekutuan Rusia berusaha untuk menyembunyikan keterlibatannya dalam tragedi tersebut.
Jerry Skinner yang merupakan pemilik bersama LHD turut menandatangani pendakwaan itu memberitahu bahawa anak guam mereka mahukan kebertanggungjawaban.
“Mereka mahukan jumlah wang yang sewajarnya bagi mencerminkan pihak Rusia mengambil serius akan hal tersebut,” ujarnya seperti yang disiarkan akhbar Herald itu.
Para pegawai Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) yang merupakan sebahagian daripada pasukan siasatan antarabangsa tahun lalu merumuskan bahawa pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK.
Pada Februari lalu, pasukan penyiasat jenayah yang berbeza berkata mereka berharap dapat mendedahkan lokasi tepat peluru berpandu itu dilancarkan.
Beberapa keluarga juga mempertimbang untuk menyaman Malaysia Airlines bagi ganti rugi kehilangan pendapatan dan juga pampasan bagi trauma psikologi akibat kehilangan orang tersayang.