Keluarga mangsa MH370 dari China saman Malaysian Airlines
AFP
Februari 26, 2016 21:59 MYT
Februari 26, 2016 21:59 MYT
Dua ahli keluarga penumpang pesawat penerbangan MH370 dari China telah memfailkan saman ke atas Malaysia Airlines menjelang tarikh akhir 8 Mac ini.
Kes tersebut didaftarkan di Mahkamah Pengangkutan Rel Beijing, menurut satu kenyataan di laman rasminya.
Menurut plaintif, “Berdasarkan Konvensyen Montreal serta undang-undang dan peraturan berkenaan, Malaysia Airlines diminta untuk menyediakan pampasan sebanyak RM3 juta (4.7 juta yuan) susulan terhempasnya pesawat itu.”
Keluarga berkenaan diberitahu mengenai terhempasnya pesawat itu pada 8 Mac 2015 - genap setahun selepas peristiwa kehilangannya, tambah plaintif.
Mangsa dengan nama keluarga Wang itu merupakan antara 239 penumpang dan kru yang terlibat dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing yang hilang sebaik sahaja berlepas.
Lebih 150 penumpang merupakan rakyat China.
Para penyiasat percaya pesawat itu telah terpesong arah dan terhempas di selatan Lautan Hindi, namun sebab dan tempat ia terhempas gagal dipastikan.
Menurut perjanjian antarabangsa, keluarga penumpang diberi tempoh dua tahun untuk memulakan tindakan saman dalam insiden melibatkan nahas udara.
Beberapa firma guaman Amerika Syarikat, Malaysia, dan Australia memberitahu mereka telah memfailkan saman bagi pihak beberapa waris dan menuntut pampasan.
Menurut kenyataan pihak berkuasa, Mahkamah tertinggi Beijing telah menugaskan Mahkamah Pengangkutan Rel Beijing untuk menguruskan semua tindakan undang-undang sivil dari waris mangsa MH370.