Keluarga Libya yang diusir dari rumah dalam krisis 2011 kini boleh pulang
Agensi
Disember 27, 2017 11:31 MYT
Disember 27, 2017 11:31 MYT
Keluarga Libya yang terpaksa melarikan diri dari sebuah pekan yang ditawan selepas penggulingan Muammar Gaddafi pada 2011 akan dibenarkan pulang pada Februari depan, kata kerajaan negara itu pada Selasa selepas rundingan dijalankan sejak lebih setahun lalu.
Reuters melaporkan, rundingan itu jika dilaksanakan, bakal menjadi langkah awal usaha perdamaian di negara pengeluar minyak Afrika Utara itu.
Sebelum ini, keadaan negara itu huru-hara dengan struktur masyarakatnya – dari puak dan komuniti hingga kerajaannya - berpecah-belah sejak 2011.
Penduduk di pekan Tawergha telah diusir oleh bekas pemberontak anti-Gaddafi pada 2011 berikutan petempatan itu digunakan sebagai tapak melancarkan serangan ke atas bandar Misrata di barat Libya sewaktu krisis berlaku.
Sejak itu, penduduk yang diusir tinggal dalam kemiskinan di kem dan petempatan sementara di serata Libya, selain diharamkan untuk pulang ke kediaman mereka.
Mereka berdepan penderaan dan pendakwaan tanpa perbicaraan sejak tersebar video yang menunjukkan mereka pernah brjuang untuk Gaddafi pada 2011.
“Dalam usaha mencapai keamanan, serta langkah untuk menegakkan undang-undang dan institusi, saya mengisytiharkan bahawa keluarga-keluarga Tawergha dibenarkan pulang pada Februari,” ujar Perdana Menteri Fayez Seraj dalam satu kenyataan.
Tawergha yang terletak di timur Misrata, menjadi ‘pekan hantu’ lantaran dikosongkan sejak ditawan pasukan keselamatan Misrata. Lebih kurang 40,000 orang kehilangan tempat tinggal.