Keluarga Islam di Britain dihalang naiki pesawat penerbangan ke Disneyland
AFP
Disember 24, 2015 18:18 MYT
Disember 24, 2015 18:18 MYT
Perdana Menteri Britain David Cameron digesa untuk campur tangan selepas sebuah keluarga Islam di negara itu dikatakan dihalang daripada menaiki pesawat penerbangan ke Amerika Syarikat untuk mengunjungi taman tema Disneyland.
Kesemua 11 anggota keluarga berkenaan dihalang beberapa pegawai imigresen di Lapangan Terbang Gatwick London untuk menaiki penerbangan mereka yang dijadualkan ke Los Angeles pada Selasa lalu.
Mohammad Tariq Mahmood yang melancong bersama abangnya serta sembilan anak mereka berkata pegawai-pegawai Imigresen berkenaan tidak memberi sebarang alasan apabila mereka ditahan di lapangan terbang itu.
Bagaimanapun, Tarik memberitahu akhbar Guardian bahawa beliau percaya keluarga mereka ditahan kerana pegawai di Amerika Syarikat menyifatkan "setiap Orang Islam akan memberi ancaman".
"Hanya kerana saya mempunyai janggut dan kadang-kala memakai pakaian orang Islam, saya diminta berhenti dan ditanya dengan pelbagai persoalan," kata Mahmood kepada BBC.
Keluarga berkenaan juga tidak dapat bayaran jaminan semula kos penerbangan berkenaan yang bernilai-kira £9,000 (RM57,504.41).
Berikutan kejadian berkenaan, Ahli Parlimen di kawasan Mahmood yang juga ahli pembangkang utama parti Buruh, Stella Creasy telah mendesak Cameron untuk mengambil berat tentang perkara ini.
Lantaran itu, pejabat Perdana Menteri telah pun mengesahkan Cameron akan memberi maklum balas kepada permintaan Creasy.
Kedutaan Amerika di London pula masih tidak memberi respon berhubung perkara ini.