Kelewatan terima vaksin jejas program vaksinasi Thailand
Bernama
Jun 14, 2021 22:55 MYT
Jun 14, 2021 22:55 MYT
BANGKOK: Kelewatan penghantaran vaksin COVID-19 ke Thailand memaksa beberapa hospital dan pusat vaksinasi di Bangkok menunda janji temu untuk minggu ini.
Thailand yang memulakan program vaksinasinya 7 Jun lalu dengan bergantung kepada vaksin AstraZeneca dihasilkan syarikat tempatan, Siam Bioscience Co Ltd.
Sepanjang minggu lalu laman Facebook beberapa hospital mengumumkan janji temu suntikan ditunda berikutan bekalan vaksin tidak mencukupi.
Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) turut mengumumkan pemberian suntikan yang dijadualkan mulai esok di semua 25 pusat vaksinasi di luar hospital (seperti pusat beli-belah, stadium dan universiti) di Bangkok terpaksa ditangguhkan.
Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata terdapat beberapa 'masalah teknikal' berhubung pengedaran vaksin berikutan itu BMA terpaksa menunda tarikh vaksinasi.
"Sebaik sahaja vaksin diterima pemberian vaksin akan dimulakan secepat mungkin," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul memberi jaminan bahawa bekalan vaksin COVID-19 adalah mencukupi untuk semua.
Bangkok akan menerima sejumlah 2.5 juta dos pada Jun termasuk 500,000 dos dihantar ke universiti, satu juta dos kepada anggota keselamatan awam dan satu juta dos lagi untuk BMA.
"Lebih banyak dos dihantar ke Bangkok," katanya sambil menambah negara ini mempunyai lebih enam juta dos vaksin.
Setakat ini, sejumlah 6.18 juta orang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos, sama ada AstraZeneca atau Sinovac. Di Bangkok sahaja seramai 1.7 juta telah menerima suntikan masing-masing.
Sementara itu, Jabatan Kawalan Penyakit memberi jaminan kepada orang ramai bahawa sejumlah 6.5 juta dos vaksin akan diedarkan di seluruh negara selewat-lewatnya 2 Julai.
Ketua Pengarahnya Dr Opas Karnkawinpong berkata satu juta dos Sinovac dan dua juta vaksin AstraZeneca dijadualkan dihantar antara 7 dan 20 Jun.
Katanya, untuk penghantaran kedua akan dibuat antara 21 Jun dan 2 Julai, dua juta dos AstraZeneca dan 1.5 juta dos Sinovac akan dihantar akhir bulan ini.
Namun, terdapat kebimbangan mengenai pengeluaran vaksin oleh Siam Bioscience memandangkan negara seperti Taiwan, Malaysia dan Filipina turut melaporkan kelewatan penghantaran vaksin yang dihasilkan di Thailand.
Sejak 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 3,355 kes baharu COVID-19 dan 17 kematian, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 199,264 dan 1,466 korban setakat ini.
Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) berkata dari 3,355 kes baharu, 3,345 adalah penularan tempatan merangkumi 784 banduan dan 10 kes import.
Kes kematian pula melibatkan 10 wanita dan tujuh lelaki berusia antara 54 hingga 85 tahun termasuk 14 di Bangkok.
Sebanyak 10 kluster baharu dikesan di lapan wilayah di luar Bangkok melibatkan kilang dan tapak pembinaan.
-- BERNAMA