Kelewatan perjalanan udara UK mungkin berterusan beberapa hari
Bernama
Ogos 29, 2023 11:56 MYT
Ogos 29, 2023 11:56 MYT
LONDON: Gangguan sistem kawalan udara United Kingdom (UK) memaksa ribuan penumpang syarikat penerbangan terkandas pada Isnin, dengan potensi gangguan berlanjutan.
Penerbangan keluar masuk dari lapangan terbang UK dibatalkan atau lewat sehingga 12 jam disebabkan oleh gangguan sistem komputer, lapor Agensi Anadolu.
Gangguan teknikal dalam sistem kawalan trafik udara negara itu sempena cuti hujung minggu menyebabkan 500 penerbangan dibatalkan dan mengalami kelewatan, menurut media British.
Perkhidmatan Trafik Udara Kebangsaan (NATS) Britain berkata pihaknya sedang menangani isu itu.
"Kami kini bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan dan lapangan terbang untuk mengurus penerbangan yang terjejas secekap mungkin. Jurutera kami akan memantau dengan teliti prestasi sistem untuk kembali beroperasi seperti biasa.
"Keutamaan kami adalah untuk memastikan setiap penerbangan di UK selamat dan kami memohon maaf atas gangguan yang berlaku. Sila hubungi syarikat penerbangan anda untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai penerbangan anda," katanya.
British Airways berkata penumpang yang merancang membuat perjalanan pada Isnin atau Selasa boleh menjadualkan semula penerbangan mereka tanpa kos tambahan.
"Seperti semua syarikat penerbangan yang menggunakan ruang udara UK, penerbangan kami telah mengalami gangguan teruk...Walaupun NATS kini telah menyelesaikan isu itu, ia telah menyebabkan banyak berlaku kelewatan dan pembatalan serta tidak dapat dielakkan. Kami sedang berusaha untuk mengurus pelanggan yang terjejas," katanya di platform media sosial X.
-- BERNAMA