Kelewatan gencatan Gaza berpunca dari senarai nama tebusan Israel dibebaskan
Agensi
Januari 19, 2025 17:13 MYT
Januari 19, 2025 17:13 MYT
GAZA: Senarai nama-nama tebusan Israel di Gaza yang bakal dibebaskan pada hari pertama gencatan senjata akan dikeluarkan dalam waktu terdekat.
Perkara itu disahkan seorang pegawai Hamas kepada agensi berita Reuters pada Ahad.
Pegawai itu berkata, kelewatan penyerahan senarai tebusan itu adalah disebabkan masalah teknikal.
Sementara itu Rejim Zionis membunuh sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin di seluruh Gaza pada Ahad di tengah-tengah kelewatan dalam melaksanakan gencatan senjata, kata perkhidmatan kecemasan awam Palestin.
Satu kenyataan dari pejabat Netanyahu, yang dikeluarkan kurang daripada sejam sebelum gencatan senjata dijadualkan bermula pada 8.30 pagi waktu tempatan (2.30 petang), berkata beliau telah 'mengarahkan tentera IDF tidak memulakan gencatan senjata sehingga Israel menerima senarai itu.
Pertukaran awal itu bertujuan membebaskan tiga tebusan Israel dari tahanan sebagai pertukaran dengan sekumpulan pertama tahanan Palestin.
Sekiranya gencatan senjata diteruskan, seramai 33 tebusan yang diambil oleh kumpulan pejuang semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel akan dibebaskan dari Gaza semasa gencatan senjata awal selama 42 hari.
Di bawah perjanjian itu, ratusan tahanan Palestin akan turut dibebaskan dari penjara-penjara Israel.