Kelate.SG milik artis Malaysia "diserbu"

Bernama
Februari 23, 2021 13:45 MYT
Selain kuah, graduan Universiti Multimedia Malaysia itu turut menghasilkan sendiri laksam iaitu sejenis mi leper yang diperbuat daripada tepung beras menggunakan jenama yang biasa digunakan oleh ibunya. - Foto IG Sasqia Dahuri
SINGAPURA: Dengan hanya tiga menu - laksam, mi celup dan colek malah - sebuah gerai makan yang terletak di 93, Lorong 4, Toa Payoh di sini mampu menarik ratusan pelanggan walaupun bukan pada hujung minggu.
Difahamkan gerai makan yang dibuka antara 8 pagi hingga 2 petang itu terpaksa ditutup tiga jam lebih awal pada hari pertama pembukaannya pada 8 Feb lalu berikutan jualan "sold out" (habis dijual).
Pemerhatian Bernama di gerai ini selepas seminggu dibuka, mendapati pelanggan masih tidak putus-putus datang untuk menikmati masakan asal negeri Che Siti Wan Kembang itu.
"Kami mencuba ketiga-tiga menu yang ditawarkan. Ternyata ia sangat sedap. Lepas rindu masakan Kelantan," kata Zafran Jani, warga Malaysia yang bekerja di sini.
Berasal dari Johor, Zafran yang datang bersama seorang rakan juga mengharapkan pemilik gerai itu akan memasukkan menu Kelantan kegemarannya, iaitu nasi kerabu pada masa akan datang.
Seorang lagi pelanggan Salwani Abdullah yang membesar di Kelantan, berkata pemilik gerai itu mampu mengekalkan ketulenan masakan negeri pantai timur tersebut.
"Puas hati. Dapat juga akhirnya kami nikmati masakan asal negeri Kelantan di sini. Apatah lagi artis kegemaran saya yang memasaknya," kata warga Singapura tersebut yang datang bersama ibunya.
Ya, gerai makan dinamakan Kelate.sg ini diusahakan Nurlisasqia Ahmad Dahuri atau lebih dikenali sebagai Sasqia Dahuri, pelakon Malaysia dan model tinggi lampai yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
Sasqia, 35, pemegang watak utama sebagai Dr Orked dalam drama "Cinta Untuk Raf" yang sedang ditayangkan menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) berada di sini sejak penutupan sempadan pada Mac tahun lalu.
Katanya perniagaan itu bermula secara suka-suka dengan menyediakan laksam resipi ibunya menerusi "home-based delivery" ketika Singapura menguatkuasakan perintah kawalan ketat "circuit breaker" selama lapan minggu bagi mengekang COVID-19 pada tahun lalu.
"Sehingga satu ketika saya tidak mampu lakukan berseorangan apabila tempahan laksam mencecah 300 hingga 400 pek sehari," kata artis berdarah kacukan Thai-Melayu itu.
"Suami dan dua lagi rakannya yang mula menyukai laksam mengesyorkan agar saya melakukan dengan lebih serius," katanya yang mengahwini warga Singapura Muhammad Asyraff Khan Baharudin Khan pada 2018.
Selain kuah, graduan Universiti Multimedia Malaysia itu turut menghasilkan sendiri laksam iaitu sejenis mi leper yang diperbuat daripada tepung beras menggunakan jenama yang biasa digunakan oleh ibunya.
"Ibu juga sangat cerewet dalam memasak termasuk langkah memasukkan bahan-bahan satu persatu. Saya pastikan ia kekal begitu," kata Sasqia yang turut dibantu beberapa orang pekerja.
Menurut Sasqia, Kelate.sg akan menambah menu nasi kerabu sedikit masa lagi dan akan menimbang menu nasi dagang serta nasi berlauk pada masa akan datang.
"Kami juga sedang memohon untuk jualan dalam talian," katanya yang turut memikirkan untuk mewujudkan "central kitchen" atau dapur berpusat bagi memenuhi permintaan yang meningkat.
-- BERNAMA
#kelate sg #nurlisasqia ahmad dahuri #Sasqia Dahuri #cinta untuk raf #laksam #Kelantan #makanan #Singapura #Pantai Timur #Malaysia
;