Kelaparan akut jejaskan 281.6 juta orang tahun lepas - PBB

Bernama
April 25, 2024 22:30 MYT
Laporan Global mengenai Krisis Makanan itu menunjukkan apabila koronavirus melanda pada akhir 2019, sekitar satu daripada enam orang di 55 negara menghadapi tahap ketakjaminan makanan yang membimbangkan. - Gambar hiasan/Pexels
NEW YORK: Tahap bahaya kelaparan akut menjejaskan 281.6 juta orang tahun lepas, tahun kelima berturut-turut bahawa ketakjaminan makanan semakin memburuk, meningkatkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kebuluran dan "kematian meluas", agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Rabu.
Menurut Laporan Global terkini mengenai Krisis Makanan, lebih daripada satu daripada lima orang di 59 negara menghadapi ketakjaminan makanan yang teruk pada 2023, berbanding hanya satu daripada 10 di 48 negara pada 2016.
"Apabila kita bercakap tentang ketakjaminan makanan yang teruk, kita bercakap tentang kelaparan yang begitu teruk sehingga menimbulkan ancaman segera kepada mata pencarian dan kehidupan orang ramai. Ini adalah kelaparan yang mengancam untuk menjadi kebuluran dan menyebabkan kematian yang meluas," kata Pengarah Pejabat Perhubungan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB, Dominique Burgeon di Geneva, menurut Agensi Berita Emirates (WAM).
Laporan itu - inisiatif bersama melibatkan FAO, Program Makanan Dunia PBB (WFP) dan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) - mendapati walaupun peratusan keseluruhan orang yang ditakrifkan sebagai makanan tidak selamat secara berbahaya tahun lepas adalah 1.2 peratus lebih rendah daripada 2022, masalah itu semakin memburuk sejak krisis COVID-19.
Laporan Global mengenai Krisis Makanan itu juga menunjukkan apabila koronavirus melanda pada akhir 2019, sekitar satu daripada enam orang di 55 negara menghadapi tahap ketakjaminan makanan yang membimbangkan, berbanding satu daripada lima hanya setahun kemudian.
-- BERNAMA
#COVID-19 #WAM #UNICEF #PBB
;