Kekerapan ribut taufan Atlantik diramal meningkat tahun ini

Agensi
April 4, 2020 09:26 MYT
Musim hurikan atau ribut taufan di zon Atlantik tahun ini diramal terjadi lebih kerap daripada biasa ekoran keadaan suhu laut yang lebih panas dan faktor cuaca lain. -Reuters
Musim hurikan atau ribut taufan di zon Atlantik tahun ini diramal terjadi lebih kerap daripada biasa ekoran keadaan suhu laut yang lebih panas dan faktor cuaca lain.
Reuters melaporkan perkara itu berdasarkan data ramalan Projek Meteorologi Tropika dari Universiti Colorado State.
Empat hurikan utama yang dijangka membadai pada kelajuan 179 kilometer sejam berkemungkinan terjadi dalam musim bermula 1 Jun ini.
Secara purata, terdapat 2.7 hurikan utama dalam semusim, dengan sejumlah lapan hurikan dikhuatiri terjadi sebelum akhir musim pada 30 November 2020.
Projek Colorado State yang diketuai saintis penyelidik Phil Klotzbach mendapati sebanyak 16 ribut tropika mungkin menanti dalam musim akan datang.
Jumlah itu adalah empat ribut tropika lebih banyak daripada biasa.
Ramalan tersebut selari dengan laporan yang pernah dikeluarkan Accuweather pada 25 Mac lalu.
Ia antara lain menyatakan bahawa daripada 14 hingga 18 ribut tropika dalam musim 2020, terdapat dua hingga empat daripadanya merupakan hurikan utama.
Terdapat kebarangkalian setinggi 69 peratus hurikan utama itu akan melanda garisan pantai Amerika Syarikat (AS), menurut ramalan tersebut.
Catatan kebarangkalian purata sepanjang kurun ke-20 cuma 52 peratus.
Terdapat 45 peratus peluang sesebuah hurikan utama melanda di sepanjang pesisiran Pantai Timur AS dan kemungkinan sebanyak 44 peratus akan membadai di sebelah Pantai Teluk.
Sebelum ini, catatan kemungkinan purata bagi kedua-dua kawasan adalah 31 and 30 peratus.
#bencana alam #Pantai Timur #pemanasan global #perubahan iklim #Projek Meteorologi Tropika #taufan #Universiti Colorado State #zon Atlantik
;