Kekejaman Zionis: Pemimpin Muslim Amerika ikrar tolak Biden

Agensi
Disember 3, 2023 15:54 MYT
Penentangan daripada penduduk Islam dan Arab-Amerika yang besar boleh menimbulkan cabaran kepada prospek Pilihan Raya presiden akan datang. - Gambar fail/AP/Susan Walsh
PEMIMPIN Muslim di beberapa negeri penting berikrar untuk menentang usaha Presiden Joe Biden untuk kembali memimpin Amerika Syarikat kerana sokongannya terhadap Israel di Gaza.
Kempen #AbandonBiden bermula apabila warga Amerika di Minnesota yang beragama Islam menuntut Biden mendesak gencatan senjata menjelang 31 Oktober, dan kempen itu telah sampai ke Michigan, Arizona, Wisconsin, Pennsylvania, dan Florida.
“Kempen #AbandonBiden ini berlatarbelakangkan pilihan raya presiden 2024 yang akan datang dan keputusan untuk menarik balik sokongan kepada Presiden Biden kerana keengganannya untuk mendesak gencatan senjata dan melindungi mereka yang tidak bersalah di Palestin dan Israel,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Penentangan daripada penduduk Islam dan Arab-Amerika yang besar boleh menimbulkan cabaran kepada prospek Pilihan Raya presiden akan datang.
“Kami tidak mempunyai dua pilihan. Kami mempunyai banyak pilihan,” Jaylani Hussein, pengarah bahagian Minnesota’s Council on American-Islamic Relations (CAIR), berkata pada sidang akhbar di Michigan.
Politik AS dikuasai oleh dua parti iaitu Demokrat dan Republikan, tetapi calon bebas juga boleh bertanding untuk presiden.
Bekas profesor Harvard dan ahli falsafah terkemuka Cornel West, yang bertanding sebagai calon bebas, telah menggesa gencatan senjata di Gaza dan mengutuk pendudukan Israel di Palestin.
Jill Stein, yang bertanding menerusi platform Green Party, juga telah menggesa gencatan senjata di Gaza.
#pemimpin Muslim #Amerika Syarikat #Joe Biden #Gaza