Kekejaman Zionis: Israel fail laporan kepada ICJ mengenai Gaza
Agensi
Februari 27, 2024 10:40 MYT
Februari 27, 2024 10:40 MYT
ISRAEL memfailkan laporan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai langkah-langkah yang diambil untuk mematuhi keputusan sementara mahkamah dunia itu.
Sebelum ini, ICJ meminta Israel untuk menghalang tindakan perang di Gaza yang mungkin bersamaan pembunuhan beramai-ramai.
Pegawai Israel bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai kandungan laporan itu yang difailkan beberapa jam sebelum tarikh akhir penyerahannya.
Bulan lalu, mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengarahkan Israel untuk menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh jatuh di bawah Konvensyen Genosid.
ICJ turut mengarahkan Israel memastikan tenteranya tidak melakukan tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin selepas Afrika Selatan menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Israel dan sekutu baratnya menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas.
Dalam keputusannya, ICJ berkata, Israel secara khusus perlu mencegah dan menghukum sebarang hasutan awam untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza dan mengekalkan bukti berkaitan sebarang dakwaan pembunuhan beramai-ramai di sana.
Ia juga berkata, Israel mesti mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan untuk orang awam Palestin di enklaf itu.
Keputusan terakhir dalam kes di The Hague boleh mengambil masa bertahun-tahun lamanya. - Agensi