Kekejaman Zionis: Gaza terus bermandi darah

Astro Awani
Disember 28, 2023 08:00 MYT
Rakyat Palestin mengadakan solat jenazah untuk saudara-mara mereka yang terkorban akibat serangan tentera rejim Zionis Israel di Khan Younis. - Foto AP
GAZA: Tentera Israel berterusan menyerang tengah Gaza melalui darat, laut dan udara, pada Rabu.
Pihak berkuasa Palestin melaporkan berpuluh-puluh lagi kematian direkodkan dengan ribuan rakyat Palestin melarikan diri daripada serangan Zionis.
Israel dilihat yakin kononnya mampu menghapuskan Hamas walaupun masyarakat antarabangsa menggesa gencatan senjata susulan krisis kemanusiaan.
Israel juga memberi isyarat akan meningkatkan tindak balasnya terhadap serangan rentas sempadan dari negara jiran Lubnan, di mana sekutu Hamas, Hezbollah berpusat.
Kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza berkata, serangan udara Israel membunuh 20 rakyat Palestin berhampiran Hospital Al-Amal di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza.
Di daerah Al-Maghazi tengah Gaza, lima rakyat Palestin terbunuh dalam satu serangan udara.
Penduduk di tengah Semenanjung Gaza berkata, pada waktu malam, serangan kereta kebal Israel semakin kuat di timur kem pelarian Al-Bureij dan Al-Maghazi.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, tentera Israel telah membunuh 195 rakyat Palestin dan mencederakan 325 dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Ini menjadikan jumlah kematian yang direkodkan kepada 21,110 terbunuh dan 55,243 cedera dalam serangan Israel di wilayah Palestin sejak 7 Oktober.
Hampir kesemua 2.3 juta penduduk di kawasan itu telah dihalau dari rumah mereka.
#Israel #Gaza #Palestin #angka korban
;