Kekayaan Jeff Bezos berganda setiap tahun
Sinar Harian
April 15, 2021 09:37 MYT
April 15, 2021 09:37 MYT
BARU-BARU ini, Pengasas Amazon.com, Jeff Bezos telah dinobatkan sebagai manusia paling kaya di dunia oleh majalah Forbes.
Pengiktirafan majalah tersebut terhadap usahawan berusia 57 tahun itu bagaimanapun bukanlah yang pertama, sebaliknya ia merupakan yang keempat sejak 2018.
Berdasarkan laporan Forbes, “Forbe’s World Billionaires List: The Richest in 2021”, Bezos mula memasuki carta manusia paling kaya di dunia pada 2016 dan menduduki tempat kelima dengan pendapatan sebanyak AS$45.2 bilion (RM186 bilion).
Usahawan teknologi itu kemudiannya terus mengungguli carta manusia paling kaya dunia pada tahun-tahun berikutnya, sekali gus meletakkan Bill Gates, Mark Zukerberg, Warren Buffett dan Amancio Ortega di belakang beliau.
Menariknya, kekayaan Jeff Bezos itu semakin berganda pada setiap tahun sedangkan usahawan lain pula berdepan dengan kemerosotan dalam perniagaan masing-masing.
Gandaan jumlah kekayaannya itu dilihat melebihi AS$10 bilion (RM41.2 bilion) pada setiap tahun.
Bagaimanapun, kekayaan Bezos itu jatuh sebanyak 4.5 peratus pada 2020 akibat serangan Covid-19 pada tahun lalu.
Namun, kekayaannya itu bertambah kembali pada tahun ini iaitu sebanyak AS$64 bilion (RM264 bilion), sekali gusnya menjadikannya AS$177 bilion (RM730 bilion) berbanding 113 bilion (RM466 bilion) pada tahun lalu.
Bezos atau nama sebenarnya Jeffrey Preston Bezos memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuteraan dari Princeton University di New Jersey.
Beliau mula menceburkan diri dalam perniagaan teknologi pada 1994 selepas menubuhkan kedai buku dalam talian yang beroperasi secara kecil-kecilan dari bangsal kereta rumahnya di New York.
Hari ini, Amazon yang beroperasi di Seattle, Washington fokus kepada lima jenis perniagaan iaitu e-dagang, komputer awan, penstriman digital dan kecederasan buatan (A.I).
Syarikat tersebut merupakan satu daripada lima gergasi teknologi maklumat dunia atau Big Five yang terdiri daripada Apple, Google, Microsoft dan Facebook.
Ia juga dirujuk sebagai jenama dunia yang paling berharga dan kuasa ekonomi serta budaya yang paling berpengaruh di dunia.
#Jeff Bezos
#Pengasas Amazon
#manusia paling kaya di dunia
#Forbes
#Bill Gates
#usahawan
#E-dagang
#komputer awan
#kecederasan buatan
#penstriman digital