Kekasih Cristiano Ronaldo nafi anak-anak jadi mangsa buli di sekolah
Agensi
April 8, 2023 16:50 MYT
April 8, 2023 16:50 MYT
RIYADH: Model yang juga pasangan kepada pemain bola sepak, Cristiano Ronaldo, Georgina Rodriguez menyangkal dakwaan media bahawa anak-anaknya menghadapi kesukaran di sekolah di Arab Saudi.
Memetik TRT News, anak-anaknya mengikuti pembelajaran di sebuah sekolah dikelilingi dengan warga bersikap profesional hebat.
"Ada beberapa media melaporkan hal negatif tentang situasi anak-anak kami di sekolah, dan saya ingin menyatakan bahawa laporan itu tidak betul.
"Anak-anak kami belajar di sekolah yang hebat, dengan profesional yang hebat.
“Sebagai ibu bapa, secara peribadi kami sangat menghargai kerja luar biasa yang mereka lakukan kepada kami sebagai sebuah keluarga,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Instagram Storiesnya.
Model kelahiran Argentina itu yang berpangkalan di Riyadh bersama Ronaldo, bercakap kepada saluran berbahasa Sepanyol AS Telemundo awal minggu ini tentang satu insiden anak mereka dipukul.
“Di sekolah ada masanya mereka dipukul dan mereka tidak mempertahankan diri. Pada suatu hari, salah seorang anak saya telah dipukul, saya mendekatinya dan dia mula menangis.
“Saya (bertanyakan) dia 'ada sesuatu yang tidak kena dengan kamu'. 'Seorang kanak-kanak memukul saya,' jawabnya dan saya (katakan) kepadanya: 'Nah, kamu tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan diri?” menurut laporan Telemundo.
Dalam masa sama, beberapa media antarabangsa menyifatkan komen itu merujuk situasi anak-anaknya di Arab Saudi, namun bintang Netflix itu menyangkal dakwaan tersebut.
“Syukur kami sentiasa mempunyai pengalaman hebat di setiap negara, di setiap sekolah.
“Kami mengagumi setiap seorang daripada mereka. Kami akan menghargai penghormatan dan kekaguman yang sama untuk semua pekerja profesional yang terlibat dalam pendidikan anak-anak kita. Anak-anak kami telah menemui kawan yang penyayang dan sangat gembira di sekolah baharu mereka,” tambahnya dalam kenyataan itu.
Pasangan itu mempunyai lima anak, dengan anak lelaki sulung dilahirkan oleh ibu lain, sepasang kembar dilahirkan melalui kaedah ibu tumpang manakala dua lagi anak dilahirkan oleh Rodriguez.