Kekalkan gencatan senjata, Palestin tuntut keadilan

Astro Awani
November 29, 2023 08:45 MYT
Seorang rakyat Palestin duduk di atas runtuhan bagunan yang musnah akibat diserang tentera rejim Zionis Israel. - Foto AP
NEW YORK: "Gencatan senjata perlu dikekalkan, bukan hanya tambahan dua hari."
Gesaan tegas itu disuarakan pemerhati tetap Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour.
Beliau juga menyifatkan perang kali ini sebagai tempoh paling dahsyat pernah dialami oleh rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Jelasnya, dunia sudah melihat pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat di Gaza dan menyeru semua bersuara menentang ketidakadilan Zionis.
Menurutnya, langkah gencatan senjata yang diambil ketika ini bukanlah suatu langkah drastik dan tidak bercita-cita tinggi.
Ini kerana dalam sesi khas tergempar yang diambil sebulan lalu, dua pertiga daripada keanggotaan PBB sudahpun mengundi menyokong resolusi yang dibentangkan bagi menamatkan perang.
Namun, negara yang memveto pembatalan resolusi itu perlu bertanggungjwab atas malapetaka kemanusiaan yang ditimbulkan oleh Zionis.
Riyadh menambah sekiranya ia telah dilaksanakan, maka beribu-ribu nyawa rakyat Palestin akan terselamat dan keluarga mereka tidak akan menanggung penderitaan sebegitu.
Ia adalah pemindahan paksa terbesar rakyat Palestin sejak Nakba.
Baginya PBB perlu mencerminkan kemarahan global dan mengambil pendirian yang jelas dan tegas menyeru gencatan senjata kemanusiaan segera yang membawa kepada pemberhentian perang.
Jelasnya lagi, imej kemusnahan di Gaza sudah menjangkau manusiawi, dengan lebih 15,000 rakyat Palestin terbunuh manakala 30,000 mangsa cedera tanpa rawatan perubatan.
Lebih 1.8 juta orang awam di Gaza, atau hampir 80 peratus daripada penduduk dianggarkan menjadi telah menjadi pelarian di dalam negara sendiri.
Justeru Palestin kini menuntut penyelesaian yang adil dan berkekalan kepada Palestin mengikut undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB melalui penyelesaian dua negara di sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis timur sebagai ibu kotanya.
#Riyad Mansour #Palestin #gencatan senjata #Israel
;