Kejutan di majlis nikah di Thailand, tetamu tiba-tiba sakit bersalin
Agensi
Februari 25, 2018 07:42 MYT
Februari 25, 2018 07:42 MYT
Perkahwinan merupakan momen indah yang tidak boleh dilupakan. Begitu juga bagi pasangan pengantin baru di Thailand ini.
Kedua-dua mempelai ini mendapat 'hadiah kejutan' berupa seorang bayi perempuan apabila seorang tetamu mengejutkan tuan rumah di majlis resepsi dengan melahirkan bayi berkenaan.
Nattaporn Tesrit, rakan pengantin perempuan, tetap meluangkan masa untuk hadir ke majlis pernikahan Mayuree Kumchanteuk di Wilayah Sikhiu, Nakhon Ratchasima, biarpun sedang sarat mengandung sembilan bulan.
Kelahiran bayi berlaku di saat ketika pengantin perempuan sedang menunggu penyerahan mas kahwin.
Nattaporn dikatakan sedang bersiap untuk membantu proses penyerahan mas kahwin itu apabila dia tiba-tiba berasa sakit untuk melahirkan.
Kejadian itu menyebabkan tetamu yang lain panik.
Namun, mereka semua spontan membantu dan membawa Nattaorn ke bawah sebatang pokok.
Pada masa sama, mereka turut menghubungi hospital.
Bagaimanapun, ketika kakitangan hospital tiba untuk membawa Nattaporn ke hosptal, dia sudah pun di dalam proses untuk bersalin.
Akhirnya, dengan bantuan petugas hospital, wanita itu selamat melahirkan bayi yang sihat seberat 3.2 kg di bawah pokok.
Pasangan pengantin kemudian mengucapkan tahniah kepada Nattaporn dan sempat mengabadikan kenangan bersama bayi berkenaan.
Si ibu dan bayi kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Meskipun upacara pernikahan itu sedikit terganggu dengan kejadian itu, para tetamu menyatakan mereka tetap gembira hadir di majlis berkenaan.