Kejamnya manusia! Perut paus mati terdampar di Thailand dipenuhi sampah plastik
Agensi
Jun 3, 2018 06:27 MYT
Jun 3, 2018 06:27 MYT
Kira-kira 80 keping sampah sarap plastik yang keseluruhannya seberat 8 kilogram ditemui dalam perut seekor paus yang mati terdampar di Thailand, selepas lima hari pihak berkuasa tempatan berusaha untuk menyelamatkannya.
Perkara yang memberi tamparan hebat kepada manusia dan tabiat buruk melakukan pencemaran itu didedahkan oleh sekumpulan pegawai marin negara itu pada Ahad.
Paus pemandu (pilot whale) itu ditemui pada Isnin di sebuah terusan di Songkhla, dekat selatan negara berkenaan.
Meskipun cuba dirawat oleh sekumpulan pakar veterinar, mamalia laut itu bagaimanapun menunjukkan harapan tipis untuk terus hidup.
Paus itu memuntahkan lima beg plastik pada Jumaat dan kemudiannya mati, lapor Jabatan Sumber Marin dan Perairan Thailand menerusi laman web rasmi mereka.
Bedah siasat menemui sebanyak 80 bahan plastik seberat 8 kilogram yang menyumbat bahagian perut paus tersebut.
"Sampah-sarap plastik ini membuatkan paus itu sakit dan tidak dapat mencari makanan seperti paus lain," ujar jabatan itu.
Ketua jabatan berkenaan, Jatuporn Buruspat, berkata paus itu mungkin menganggap plastik yang terapung di laut sebagai makanannya.
Paus spesies berkenaan lazimnya memburu sotong, selain turut dikenali menjadikan sotong kurita dan ikan kecil sebagai sumber dietnya.
Jatuporn berkata, jabatannya merancang untuk meningkatkan kesedaran awam tentang masalah berkenaan sempena Hari Laut Sedunia pada 8 Jun nanti.
"Kami akan menggunakan kes paus ini dan mengundang pelbagai pihak untuk mengajar mereka tentang tanggungjawab mengurangkan penggunaan plastik di Thailand," katanya.
Di seluruh dunia, 8 juta tan plastik - termasuk botol, bungkusan dan sampah lain - dibuang ke dalam laut setiap tahun, lantas membunuh hidupan marin dan seterusnya memasuki rantaian makanan manusia, lapor Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember lalu.