Kejamnya! Dua lelaki seret kucing di belakang jip, hentak mati dengan batu
Agensi
Mac 5, 2018 11:18 MYT
Mac 5, 2018 11:18 MYT
DUA lelaki Missouri, Amerika Syarikat masing-masing dihukum penjara selama empat tahun kerana melakukan kekejaman terhadap seekor anak kucing hingga mati.
Kedua-duanya didapati bersalah menyeret anak kucing itu di belakang sebuah kenderaan jip pada Jun tahun lalu dan memuat naik video berkenaan ke media sosial.
Kyle Williams, 18, dari Branson, dan Jordan Hall, 19, dari Arnold, mengaku bersalah awal tahun ini, lapor media tempatan.
Video yang dimuat naik Williams ke Facebook itu jelas menunjukkan perlakuan penyeksaan ke atas haiwan berkenaan, dengan Hall yang bertindak selaku pemandu jip tersebut.
Lebih dahsyat, di penghujung video itu, Williams menghentak seketul batu ke atas kucing tersebut lantas membunuhnya.
Alasan mereka berbuat demikian hanyalah untuk mendapatkan jumlah tontonan yang melayakkan mereka meraih sedikit keuntungan, seterusnya membeli piza.
Begitupun, beberapa penonton video itu telah membuat laporan tentang perbuatan keji itu kepada pihak berkuasa.
“Kami sangat berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan kepada mereka oleh pihak mahkamah, atas perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ke atas seekor kucing yang tidak berdaya.
“Kami sangat berterima kasih atas laporan dan aduan daripada pihak yang prihatin. Tanpa mereka, jenayah seperti ini mungkin tidak akan diketahui umum dan diambil tindakan,” ujar Pendakwa Raya Taney County Jeff Merrell.
Ketika dalam tahanan sewaktu berdepan pendakwaan tersebut, Williams dilaporkan telah mengasah sebatang sudu menjadi senjata tajam, dan kerana itu hukuman penjaranya ditambah lagi lima tahun.