Kejam! Selepas diseksa dibuang pula, bayi ditemui di tempat lupus sampah
Sinar Harian
Januari 6, 2019 05:03 MYT
Januari 6, 2019 05:03 MYT
Seorang wanita ditahan susulan penemuan bayi di tempat pelupusan sampah di Pasar Namlea, Kabupaten Buru pada Ahad.
Bayi berusia 12 bulan dikenali sebagai N ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan telinga kiri dan jarinya alami kecederaan serius.
Rakaman video bayi dipercayai mangsa perbuatan kejam itu turut menjadi tular di media sosial.
Jurucakap polis, Ricky Purnomo Kertapati berkata, siasatan awal mendapati bayi tersebut sedang bermain bersama abangnya di rumah keluarga mereka di belakang pasar Namlea.
"Kemudian, pelaku dikenali sebagai F mengambil bayi tersebut dan membawanya ke bilik mandi dan menyeksanya hingga menyebabkannya kehilangan sebahagian telinga kiri dan ibu jari kanannya," kata Ricky.
Wanita itu kemudiannya membuang bayi malang itu di tempat pelupusan sampah sebelum melarikan diri.
Dia dijumpai penduduk sekitar yang mendengar tangisannya.
Bayi tersebut telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"F telah ditahan dan akan menjalani pemeriksaan kesihatan mental kerana dipercayai menderita sakit jiwa," ujarnya lagi. - Kompas.com