Kejam! Cedera teruk anjing ini digigit tuannya yang 'lalok'
Agensi
April 15, 2018 19:12 MYT
April 15, 2018 19:12 MYT
SEORANG lelaki mengaku menyebabkan kecederaan teruk kepada anjing peliharaanya. Semuanya kerana ‘lalok’ selepas mengambil dadah.
Tyler Laverick, 20, ditahan pada 19 Oktober 2015 di kediamannya di North Tyneside, Newcastle, United Kingdom (UK) selepas polis menerima aduan daripada jirannya.
Ketika serbuan, polis menemui Diesel anjing jenis Staffordshire Bull Terrier berusia lapan bulan dalam keadaan cedera teruk di bahagian kepala.
Ketika ditanya pihak berkuasa, Laverick mengaku dia menggigit haiwan itu ketika sedang khayal akibat dadah.
Dia ditahan kerana menyebabkan kecederaan tidak sewajarnya kepada haiwan.
Bagaimanapun ketika pendengaran kes pada Jumaat lalu di Mahkamah Majistret North Tyneside, Laverick gagal hadir namun prosiding tetap diteruskan.
Pendakwaraya Judith Curry mededahkan hasil siasatan pihak veterinar kepada mahkamah.
Berdasarkan laporan berkenaan, Diesel cedera teruk di bahagian lidah, hidung, telinga, kaki dan beberapa kesan parut pada muncungnya dan kesemua kecederaan ini berpunca pukulan objek tumpul dan gigitan.
Menurut Curry lagi pihak veterinar percaya Diesel dicederakan pada malam 19 Oktober berdasarkan keadaan kecederaan yang masih baharu. Namun ada juga kecederaan lama dikesan pada tubuh haiwan itu.
27 April ini ditetapkan sebagai tarikh jatuh hukuman.