Kejam! Bapa, anak kelar dan hiris mayat tetamu untuk dibuat sup

Agensi
Mac 9, 2019 18:02 MYT
Suspek Maksim Kostyukov (kiri) dan anak lelakinya Yaroslav dituduh membunuh tetamu mereka yang juga bekas anggota polis. -Foto daripada media sosial
SEORANG bapa dan anak lelakinya dibicarakan selepas didakwa membunuh dan memakan rakan yang baru dikenali mereka.
Memetik laporan portal The Sun UK, suspek Maksim Kostyukov, 41, dan anak lelakinya Yaroslav, 20, dituduh memenggal mayat sebelum memotong kepingan daging untuk dijadikan sup.
Dalam kejadian di Kharkiv, Ukraine pada Oktober tahun lalu, dua beranak Kostyukov itu dipercayai mengajak mangsa yang juga rakan baharunya Evgeny Petrov ke sebuah parti di pangsapuri mereka.
Apabila mengetahui tetamu mereka itu merupakan bekas anggota polis, Yaroslav merangkul leher Perov dari belakang manakala ayahnya mengelar leher dan menikam dada mangsa dengan pisau dapur beberapa kali.
Dua beranak itu kemudian dilapor memenggal kepala mangsa dan menghiris bahagian kaki serta tangan mangsa menjadi kepingan daging.
Menurut laporan polis, kepingan daging itu digunakan suspek untuk memasak sup dan selebihnya disimpan di dalam peti sejuk.
Pada malam hari kejadian, suspek dikatakan membuang mayat yang dipenggal itu di sekitar blok pangsapuri jiran.
Keesokan harinya, seorang penjaga bangunan menjumpai mayat itu dan menghubungi polis.
Polis mengesyaki penglibatan kedua suspek selepas menyoal siasat beberapa penduduk yang mendakwa pernah melihat mangsa dengan kedua-dua mereka pada hari kehilangannya.
Kedua-dua suspek ditahan selepas polis menjumpai beberapa bahagian badan mangsa yang lain di dalam pangsapuri mereka.
#kanibal #keluarga #lelaki #mangsa #mayat #penggal #polis #suspek #Ukraine
;