Kejadian tikaman di gereja Sydney diisytihar 'tindakan pengganas'

Agensi
April 16, 2024 08:45 MYT
Polis Australia mengisytiharkan kejadian tikaman di sebuah gereja di Sydney pada Isnin sebagai "tindakan pengganas." - Gambar AP
SYDNEY: Polis Australia mengisytiharkan kejadian tikaman di sebuah gereja di Sydney pada Isnin sebagai "tindakan pengganas."
Seorang budak lelaki berusia 15 tahun ditahan selepas seorang paderi dan beberapa orang pengunjung gereja ditikam semasa khutbah itu.
Kejadian itu berlaku pada sebelah petang di Gereja Christ The Good Shepherd di pinggir bandar Wakeley.
Sekurang-kurangnya empat orang ditikam tetapi polis berkata tiada kecederaan mereka yang mengancam nyawa. Kejadian itu mencetuskan keresahan.
Beratus-ratus orang berkumpul di luar gereja, bertempur dengan polis - dua daripadanya cedera.
Sementara itu, 20 kenderaan polis dilaporkan rosak dengan 10 lagi tidak dapat digunakan.
Ketua Pesuruhjaya Polis, Karen Webb berkata, mereka yang terlibat dalam rusuhan itu akan diburu dan polis menyifatkan tindakan itu sebagai "tidak boleh diterima."
Dalam perkembangan sama Premier New South Wales, Chris Minns berkata: "Saya telah mengadakan mesyuarat bersama pemimpin agama yang mewakili organisasi agama utama di seluruh Sydney Barat.
"Dan mesej mereka kepada komuniti mereka adalah universal dan serupa iaitu mereka kesal dengan keganasan dalam semua bentuk dan mereka yakin polis New South Wales akan menjalankan siasatan dan mencari keadilan.
"Mereka turut menyeru keamanan dalam kalangan semua komuniti di Sydney dan apa yang paling penting ialah orang ramai kekal tenang dalam tempoh yang jelas mencetuskan kesulitan ini."
Dalam kejadian itu, pasukan paramedik terpaksa berundur untuk berlindung di gereja dan "berkurung" di sana selama lebih tiga jam. - Agensi
#tikaman di gereja #pengganas #Polis Australia #Gereja Christ The Good Shepherd
;