Kejadian tikam di utara Melbourne, 4 remaja ditahan
Bernama
Februari 25, 2025 10:40 MYT
Februari 25, 2025 10:40 MYT
Tiga lelaki cedera, manakala empat remaja ditahan susulan pergaduhan yang berakhir dengan insiden tikaman di utara Melbourne, pada Isnin. - Gambar hiasan
SYDNEY: Tiga lelaki cedera, manakala empat remaja ditahan susulan pergaduhan yang berakhir dengan insiden tikaman di utara Melbourne, lapor Xinhua.
Polis dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai pergaduhan di kawasan parkir sebuah kedai runcit di Broadmeadows, sekitar 7.30 malam waktu tempatan pada Isnin.
Setibanya di tempat kejadian, pihak berkuasa mendapati dua lelaki berusia 40 dan 18 tahun cedera disyaki akibat tikaman.
Kedua-dua mangsa dibawa ke hospital dan dilaporkan tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.
Menurut saksi, sekumpulan remaja dilihat melarikan diri dari lokasi kejadian.
Unit udara polis kemudian mengesan kumpulan itu memasuki sebuah premis sebelum pasukan penyiasat dan Unit Tindak Balas Insiden Kritikal menyerbu lokasi berkenaan serta menahan empat remaja lelaki - tiga berusia 19 tahun dan seorang 18 tahun.
Seorang lagi remaja lelaki berusia 14 tahun, turut cedera dalam pergaduhan itu dan kini menerima rawatan di hospital.
Menurut kenyataan polis, pergaduhan tercetus apabila lelaki berusia 40 dan 18 tahun itu pergi ke kawasan parkir berkenaan bagi mencari fon kepala yang telah dicuri di sebuah pusat beli-belah berhampiran.
- BERNAMA