Kehilangan Raja Bhumibol dirasai seluruh Asia Tenggara
Bernama
Oktober 22, 2016 15:57 MYT
Oktober 22, 2016 15:57 MYT
Kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej bukan sahaja dirasai oleh rakyat Thailand tetapi oleh seluruh rantau Asia Tenggara, kata perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Perdana menteri yang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Raja Bhumibol di Grand Palace hari ini berkata mendiang juga mahukan hubungan yang erat antara Malaysia dan Thailand.
"Ketiadaan King Bhumibol bukan sahaja kehilangan kepada rakyat Thailand tetapi baginda adalah seorang raja yang mahukan hubungan erat antara Malaysia dan Thailand, di samping itu baginda mahukan rantau Asia Tenggara lebih aman dan makmur," katanya kepada media Malaysia hari ini.
Najib berkata Raja Bhumibol yang bersemayam di takhta selama tujuh dekad, amat disayangi oleh rakyat Thailand dan amat dekat di hati mereka.
Perdana menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor sebelum itu meletakkan kalungan bunga serta menandatangani buku takziah di Grand Palace, di sini. -Bernama