Kehidupan jutaan penduduk di tenggara China terjejas akibat banjir kilat

Astro Awani
Jun 9, 2020 06:46 MYT
Banjir besar melanda sekitar sebuah kampung di Yangshuo di Guilin, selatan wilayah Guangxi Zhuang, China, 7 Jun, 2020. (Foto AP)
HUJAN lebat sehingga menyebabkan banjir kilat melanda wilayah tenggara China sejak beberapa hari lalu.
Menurut laporan media tempatan, keadaan itu menyebabkan kehidupan jutaan penduduk terjejas selepas kediaman mereka ditenggelami air dan tanaman mereka rosak.
Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Guangxi, Hunan, Guangdong dan beberapa kawasan lain di wilayah selatan negara itu.
Kejadian fenomena alam yang berlaku sejak 2 Jun itu turut meragut sembilan nyawa setakat ini.
Kerja-kerja menyelamat dan memindahkan penduduk sudah digerakkan termasuk mengaktifkan tahap tindak balas kecemasan yang tinggi.
Pihak pemantau negara China pada Selasa mengatakan, lebih banyak hujan dijangka turun di sebilangan besar wilayah tengah dan selatan China.
Di sepanjang pantai di wilayah Guangdong, lebih 20,000 orang terpaksa berpindah ke tempat selamat, mendapatkan perlindungan di khemah yang disediakan agensi kerajaan di kawasan terjejas teruk seperti Zhaoqing dan Qingyuan.
Puluhan sungai sudah mencapai atau melebihi tahap amaran sejak beberapa hari lepas.
#air #banjir #China #hujan #tenggara
;