Kehabisan nama tradisional, ribut taufan kini akan diberi nama Yunani
Astro Awani
September 19, 2020 06:11 MYT
September 19, 2020 06:11 MYT
TIGA sistem ribut dinamakan di Atlantik pada Jumaat, menggunakan nama-nama terakhir dalam senarai Pusat Taufan Nasional bagi tahun 2020, sekali gus memaksa agensi itu untuk mula menggunakan nama Yunani.
Ribut tropika Wilfred dinamakan lewat pagi Jumaat dan terletak lebih dari 600 batu di sebelah barat Kepulauan Cabo Verde, menurut kenyataan Pusat Taufan Nasional.
Ia tidak menimbulkan ancaman di daratan dan diramalkan akan semakin lemah semasa melalui Atlantik minggu depan.
Wilfred adalah nama terakhir dalam senarai 21 nama tradisional bagi ribut taufan Atlantik tahun ini.
Nama Yunani akan mula dipilih selepas 21 nama tradisional seperti Laura dan Sally habis digunakan, bermula dengan huruf "A" dan seterusnya, mengikut urutan abjad. Huruf Q, U, X, Y dan Z tidak digunakan.
Antara contoh nama Yunani ialah Alpha, Beta dan Delta.
Ia hanya pernah berlaku sekali sejak pusat taufan mula menamakan ribut taufan bermula 1953.
"Musim taufan Atlantik 2020 terus memecahkan rekod.
"Ini pertama kali dalam sejarah moden, tiga ribut dinamakan dalam tempoh 24 jam," kata ahli meteorologi CNN, Taylor Ward.